Soalan
Adakah syaitan tahu keadaan dalam diri seseorang manusia? Mohon penjelasan.
Jawapan
Dalam menjawab persoalan di atas, tiada yang mengetahui isi hati seseorang melainkan Penciptanya sendiri, iaitu Allah ﷻ.
Firman Allah ﷻ:
يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ
“Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”
Surah Ghafir Ayat 19
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Lafaz ‘خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ’ bermaksud pandangan yang khianat, seperti pandangan kedua yang melihat sesuatu yang haram, dan mencuri pandangan terhadap sesuatu yang haram tersebut. Maksud ‘الأَعْيُن الْخَائِنَة’ adalah mencuri pandang untuk (melihat) sesuatu yang diharamkan. Allah ﷻ mengetahui pandangan khianat seorang hamba yang memandang sesuatu yang diharamkan, mengetahui hal-hal yang menjadikan hati bahagia, berupa pelbagai perkara yang baik atau yang buruk bahkan bisikan hati sekalipun.
Ini bererti bahawa ilmu Allah ﷻ adalah sempurna dan meliputi segala sesuatu, baik yang mulia atau yang hina, yang kecil atau pun yang besar; yang lembut dan halus, untuk memberi peringatan kepada manusia tentang pengetahuan Allah ﷻ atas mereka, sehingga mereka malu terhadap Allah ﷻ dengan malu yang sebenarnya, bertaqwa kepada-Nya dengan sebenar-benar taqwa, dan takut kepada-Nya seperti halnya takutnya seseorang yang mengetahui bahawa Allah ﷻ selalu melihatnya. Sungguh, Allah ﷻ mengetahui pandangan mata yang khianat sekalipun terlihat jujur. Dia juga mengetahui hal-hal tersembunyi yang terkumpul dalam hati di antara perasaan-perasaan atau suara hati dan rahsia-rahsia yang tersimpan dalam hati (Tafsir al-Munir 12/318).
Syeikh al-Sa’di menyebut: Firman-Nya, ‘يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ’, maksudnya pandangan yang disembunyikan oleh seseorang daripada temannya dan daripada rakan-rakannya, iaitu mencuri pandangan. Firman-Nya, ‘وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ’, yakni daripada hal-hal yang tidak dijelaskan oleh seseorang kepada orang lain. Jadi, Allah ﷻ mengetahui yang tersembunyi itu, apatahlagi perkara-perkara yang nyata, sudah tentu Dia lebih mengetahui lagi (Tafsir al-Karim al-Rahman hlm 735).
Firman Allah ﷻ:
وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُونَ
“Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.”
Surah al-Nahl Ayat 19
Al-Tabari berkata: Yakni, Allah ﷻ berfiman, “Allah Tuhan kamu semua, wahai manusia, mengetahui apa yang kamu semua rahsiakan dalam hati kamu sehingga tersembunyi daripada orang lain, apa yang kamu zahirkan dengan lisan dan anggota badan kamu, serta perbuatan yang kamu nyatakan dengan ucapan dan anggota tubuh. Dia menghitung semua itu dan akan membalasnya kepada kamu pada hari Kiamat. Allah ﷻ membalas perbuatan baik dengan kebaikan, dan perbuatan buruk dengan keburukan pula. Allah ﷻ akan bertanya kepada kamu semua tentang rasa syukur atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu semua, sama ada yang kamu hitung mahupun yang tidak kamu hitung (Jami’ al-Bayan 16/51).
Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyebut: “Ini adalah tanda lain daripada kekuatan, ilmu, hikmah dan nikmat pada konteks ayat yang mulia ini. Hanya Allah-lah yang mengetahui rahsia dan zahir manusia, dan Dia mengetahui keperluan dan permintaan mereka, jika mereka memusuhi dan kufur kepada-Nya, bagaimana boleh mereka hidup dengan tenang? (Aisar al-Tafasir, 3/104).
Firman Allah ﷻ:
إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
“Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.”
Surah Ali Imran Ayat 119
Ibn Kathir berkata: “Allah ﷻ Maha Mengetahui segala kedengkian dan kebencian yang ada dalam hati kamu semua. Allah ﷻ akan membalas keingkaran kamu semua itu di dunia, dengan memperlihatkan keutamaan kaum Muslim di dunia. Juga membalas kelak di akhirat dengan memasukkan kamu semua (munafik dan kafir) ke dalam neraka yang abadi (Tafsir Al-Quran al-’Azim 2/107).
Al-Syaukani berkata: Yakni, Allah ﷻ Maha Mengetahui segala apa yang terdetik di dalam hati (Fath al-Qadir 1/430).
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Safiyyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ
“Sesungguhnya syaitan mengalir di pembuluh darah manusia.”
Riwayat Bukhari 2038 dan Muslim 5807
Abu al-Hasan al-Asy’ari menyebut perbezaan pandangan dalam kalangan ulama dan ahli kalam, adakah syaitan boleh mengetahui isi hati manusia ataupun tidak?
Pertama, pandangan Ibrahim, Ma’mar dan Hisyam serta beberapa ulama yang mengikutinya, bahawa syaitan mengetahui isi hati manusia. Dan itu tidak aneh kerana Allah ﷻ memberikan ruang bagi syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia. Sepertimana yang berlaku, syaitan memberikan saranan kepada manusia, “Lakukan ini…jangan lakukan itu…” sehingga syaitan tahu apa yang diinginkan manusia.
Demikian juga ketika dia hendak melakukan sesuatu perbuatan, maka syaitan tahu apa yang dilakukan orang itu. Ketika jiwanya berkeinginan untuk bersedekah atau melakukan kebaikan, maka syaitan tahu dengan beberapa petunjuk, lalu dia melarang manusia daripada melakukannya.
Kedua, pandangan Muktazilah dan yang lainnya, bahawa syaitan tidak mampu mengetahui isi hati manusia. Sehinggalah ketika manusia ada keinginan untuk melakukan kebaikan atau ingin bersedekah, maka syaitan mengetahui berdasarkan dugaan dan berusaha melarangnya.
Ketiga, bahawa syaitan mampu merasuk ke dalam hati manusia dan dia mengetahui apa yang diinginkan dalam hatinya (Maqalat Islamiyyin hlm 436).
Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa tiada seorang manusia, jin, malaikat dan rasul pun yang mengetahui isi hati manusia melainkan atas izin Allah ﷻ dengan menurunkan wahyu kepada seorang nabi atau rasul. Apabila seseorang mengungkapkan isi hatinya, lalu didengari oleh orang lain atau jin, maka barulah ketika itu isi hatinya diketahui, disebabkan ungkapannya itu sendiri.
Syeikh Ibn Baz pernah ditanya, jika saya berniat untuk melakukan kebaikan dalam hati saya, adakah syaitan mengetahui tentangnya dan berusaha mengalihkan perhatian saya daripada melakukannya? Jawab Syeikh: Setiap manusia, terdapat syaitan dan malaikat padanya. Sepertimana sabda Nabi ﷺ:
مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ
“Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: “Adakah kamu juga wahai Rasulullah ﷺ?” Baginda menjawab: “Dan aku juga, melainkan Allah ﷻ telah membantuku daripada gangguannya, maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”
Riwayat Muslim 2814
Nabi ﷺ memberitahu bahawa syaitan membisikkan kejahatan kepada manusia dan menyerunya kepada kejahatan. Dan syaitan mempunyai bisikan di dalam hati manusia serta mempunyai pengetahuan tentang ketetapan Allah ﷻ berkenaan apa yang hamba inginkan dan niatnya daripada amalan kebaikan dan kejahatan. Dan malaikat juga mempunyai bisikan di dalam hati manusia; membisikkan kebaikan dan menyerunya kepada kebaikan. Ini adalah perkara-perkara yang diizinkan Allah ﷻ untuk mereka lakukan; Iaitu Dia telah memberi kuasa kepada dua qarin; iaitu qarin daripada kalangan jin dan qarin daripada malaikat, malah Nabi ﷺ sendiri ada bersamanya syaitan iaitu qarin dari kalangan jin sepertimana disebutkan dalam hadith. Yang dimaksudkan adalah setiap manusia ada bersamanya qarin dari kalangan malaikat dan qarin dari kalangan syaitan.
Orang yang beriman mengalahkan syaitannya melalui ketaatan kepada Allah ﷻdan istiqamah berpegang teguh kepada agamanya, dan dia menghinakan syaitan sehingga syaitan itu menjadi lemah serta tidak mampu untuk mencegah orang beriman itu daripada melakukan kebaikan atau menyebabkan dia melakukan kejahatan kecuali apa yang dikehendaki Allah ﷻ. Orang yang bermaksiat, maka dengan maksiatnya dan perbuatan buruknya akan membantu syaitannya, sehingga menguatkannya dalam membantu untuk melakukan kebatilan, dan mendorongnya melakukan kesalahan, serta menghalangnya daripada melakukan kebaikan.
Justeru, setiap orang beriman hendaklah bertakwa kepada Allah ﷻ dan berusaha bersungguh-sungguh dalam berjuang memerangi syaitannya, melalui ketaatan kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya, serta berlindung kepada Allah ﷻ daripada syaitan. Dia hendaklah bersungguh-sungguh dalam menolong malaikatnya dengan cara mentaati Allah ﷻ dan Rasul-Nya, dan melaksanakan perintah-perintah Allah ﷻ (Fatawa al-Syeikh Bin Baz 9/369).
Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Justeru, hendaklah kita menjarakkan diri daripada syaitan dengan tidak mengikut jejaknya. Inilah perjanjian kita dengan tuhan seperti dalam firman-Nya:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam عليه السلام, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! “Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.”
Surah Yasin Ayat 60 – 61
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
“Kami berlindung dengan kalimah Allah ﷻ yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
Leave a Reply