Amalan-amalan saka, susuk dan sihir adalah termasuk di dalam dosa besar yang boleh membawa kepada syirik (menyengutukan Allah ﷻ dengan sesuatu). Ini kerana, kita meyakini bahawa ada benda lain yang lebih berkuasa selain Allah ﷻ dan kita juga meyakini bahawa perkara-perkara tersebut yang memberi manfaat dan mudharat. Tambahan pula, memakai susuk bagi tujuan kecantikan adalah haram kerana terdapat unsur pemalsuan dan juga unsur penipuan terhadap orang yang melihatnya. Di dalam sebuah hadith, Nabi ﷺ mengingatkan kita agar menjauhi perkara-perkara seperti sihir atau saka:
Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ
“Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai, Rasulullah, apakah itu?” Baginda ﷺ menjawab: “Syirik kepada Allah ﷻ, sihir, membunuh jiwa yang Allah ﷻ haramkan kecuali dengan haq, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari daripada peperangan, menuduh zina terhadap wanita-wanita yang menjaga kehormatan, beriman dan yang bersih.”
Riwayat Bukhari 3456 dan Muslim 2669
Dalam sihir, berhimpunnya antara kufur dan memudaratkan manusia kerana sangkaan orang awam dan jahil bahawa penyihir boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya. Ini bertentangan dengan firman Allah ﷻ:
…وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ…
“…Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah…”
Surah al-Baqarah Ayat 102
Telah sepakat para ulama’ tentang pengharaman mempelajari sihir, mengajarnya dan mengamalkannya. Para ulama’ telah menghukumkan mereka yang melakukan sihir kepada dua:
- Mereka dianggap kafir yang mewajibkan hukuman bunuh. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Ahmad dan ramai dari kalangan sahabat dan tabi’in.
- Mereka dianggap fasiq (dosa besar) tetapi dikenakan hukuman pancung. Mereka tidak dianggap terkeluar dari agama Islam sepertimana Mazhab Syafi’i kecuali apabila melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kufur seperti mendakwa mampu dan berkudrat untuk menukarkan ciptaan Allah ﷻ.
Para sahabat dengan tegas menghukum bunuh kepada penyihir. Antaranya:
- Saidina Umar Ibn Al-Khattab membunuh penyihir-penyihir (Riwayat Ahmad dalam Musnad 1/190, Abu Daud 3/431, Abd al-Razzaq dalam Musannafnya 10/179 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136 Sanadnya sahih).
- Ummul Mukminin Hafshah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا membunuh hamba perempuannya yang menjadi tukang sihir (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ 2/871 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136).
- Jundub bin Abdullah telah membunuh seorang tukang sihir yang bermain bersama al-Walid bin ‘Uqbah dengan memenggal kepala lelaki kemudian diserunya dan terus hidup (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir 2/222 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136).
Berkenaan dengan pergi dan meminta rawatan daripada penyihir juga adalah haram. Ini berdasarkan kepada dua hadis Rasulullah ﷺ:
- Daripada Sofiyyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, daripada sebahagian isteri Nabi ﷺ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa yang datang mengunjungi penenung nasib dan bertanya tentang sesuatu maka tidak diterima solatnya 40 malam.”
Riwayat Muslim 2230
- Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَن أَتَى كَاهِنًا أَوْ عرَّافًا فصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفرَ بِمَا أُنزِلَ عَلَى محمَّدٍ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ
“Sesiapa yang datang kepada tukang ramal atau penenung nasib dan membenarkannya dengan apa yang dikatakan maka sebenarnya dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad ﷺ.”
Riwayat Ahmad dalam Musnadnya 9532. Kata Syeikh Syuaib al-Arna’ut, hadis hasan.
Kami nyatakan di sini beberapa pendapat ulama’ berkenaan dengan isu ini:
- Ibnu Kathir ketika menafsirkan firman Allah ﷻ:
…وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ…
“…Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka…”
Surah al-Baqarah Ayat 102
Menafsirkan ayat di atas, sepertimana disebut di dalam Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir:
يَضُرُّهُمْ فِي دِينِهِمْ ، وَلَيْسَ لَهُ نَفْعٌ يُوَازِي ضَرَرَهُ
“Ia memberi kemudaratan dalam agama mereka (Islam) dan tiada padanya sebarang manfaat yang mengimbangi mudaratnya.”
- Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari mengambil ayat dalam Surah al-Baqarah Ayat 102 sebagai dalil pengharaman sihir kerana Allah ﷻ mengkufurkan syaitan kerana ajaran sihirnya itu. Oleh itu, mempelajarinya adalah merosakkan aqidah.
- Imam al-Nawawi berkata pekerjaan sihir adalah pekerjaan merosakkan akidah secara menyeluruh atau ijmak (Fath al-Bari 10/ 224).
- Imam Ibnu Qudamah menyebut mempelajari, mengajar dan mengamalkan sihir adalah haram dan tidak diketahui ada khilaf di kalangan ulama’ muktabar dalam kerosakan akidah (Al-Mughni 8/151).
- Syeikh Atiyyah Saqr menyebut sihir banyak dipelajari oleh orang awam dengan tujuan menyakiti dan memudaratkan orang lain bukan bertujuan untuk kebaikan dan mengambil manfaat. Nas dalam Al-Qur’an dan hadis jelas menunjukkan bahawa amalan sihir adalah dosa besar bahkan kufur yang jelas apabila meyakini ianya dapat memberi kesan dengan sendirinya bukan dengan kuasa Allah ﷻ.
Oleh itu, ilmu sihir dan seumpamanya adalah haram untuk kita pelajari, mengajar dan mengamalkannya. Jika pengamal itu seorang Islam, ia boleh merosakkan akidah dan kami katakan bahawa ilmu sihir merupakan ilmu yang paling hampir ke arah menjerumuskan manusia kepada syirik.
Leave a Reply