Apakah yang dimaksudkan dengan qiyas iblis?
Jawapan
Dalam perbahasan qiyas selaku sumber hukum yang disepakati di sisi para fuqaha, terdapat suatu kenyataan yang masyhur dengan sebutan Qiyas Iblis. Ini adalah berdasarkan sebuah atsar daripada Ibn Abbas رضي الله عنه beliau berkata: “Makhluk pertama yang melakukan qiyas adalah iblis, lalu dia tersilap dalam qiyas. Maka sesiapa yang melakukan qiyas dalam agama berdasarkan logik akalnya semata, Allah ﷻ akan menyertakan dia bersama-sama dengan iblis’’.
Kenyataan di atas ini turut dinyatakan oleh Imam al-Hasan al-Basri dan juga Imam Muhammad bin Sirin. Hal ini adalah disebabkan suatu kenyataan daripada iblis sendiri yang dirakamkan di dalam Al-Qur’an, apabila Allah ﷻ memerintahkan kepadanya untuk bersujud kepada Nabi Adam عليه السلام melalui ayat berikut:
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ
“Allah ﷻ berfirman: Apa yang menghalang kamu (iblis) sehinggakan kamu tidak bersujud ketika Aku perintahkan kepadamu. Iblis menjawab: Aku lebih baik darinya (Adam). Kau telah menciptakan aku daripada api sedangkan Kau menciptakannya (Adam) daripada tanah.”
Surah al-A’raaf Ayat 12
Berdasarkan ayat di atas, iblis memberikan justifikasi kepada perbuatannya yang enggan bersujud kepada Nabi Adam عليه السلام sekalipun ia merupakan suatu arahan Allah ﷻ dengan menggunakan qiyas kepada asl al-khilqah (asal kejadian).
Ini bermakna, iblis melakukan qiyas kepada asal kejadian dirinya yang diciptakan daripada api dan juga asal kejadian Nabi Adam عليه السلام yang diciptakan dari tanah. Lalu iblis menyangka dan mendakwa bahawa api lebih afdal berbanding tanah. Kenyataan ini membawa maksud, jika asal sesuatu itu mulia, maka furu’ (cabang) yang terhasil darinya juga adalah turut menjadi mulia. Maka qiyas yang dilakukan oleh iblis ini menghasilkan satu natijah, iaitu keengganan sujud kepada Nabi Adam عليه السلام.
Kami ringkaskan qiyas iblis ini dalam bentuk poin seperti berikut:
• Api adalah lebih afdal daripada tanah.
• Mulianya asal menunjukkan kepada kemuliaan far’u (cabang darinya). Kerana itu ia mendakwa dirinya lebih afdal berbanding Nabi Adam عليه السلام.
• Yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan, tidak akan bersujud kepada sesuatu yang tidak mulia.
Pada hakikatnya, sangat benar ungkapan Ibn Abbas رضي الله عنه yang mengatakan bahawa qiyas iblis ini merupakan suatu kesilapan dan kesalahan. Ini kerana, dari sudut ketepatan fakta, tidak terdapat suatu dalil penguat yang mengatakan bahawa api itu lebih baik dan mulia berbanding tanah. Sebaliknya, terdapat beberapa hujahan lain yang kuat membuktikan bahawa tanah itu lebih utama dan mulia berbanding api.
Kami nyatakan beberapa kelebihan tanah berbanding api seperti berikut:
1. Di antara sifat tanah adalah tenang, tetap, dan stabil. Justeru sifat inilah yang membawa Nabi Adam عليه السلام untuk bertaubat, bersifat tawaduk, dan juga merendah diri.
Manakala di antara sifat api, ia mempunyai ciri kekerasan, meninggi, serta bersimpang siur. Kerana itu iblis bersikap dengan sifat takbur dan meninggi diri.
2. Terdapat nas yang menunjukkan bahawa tanah syurga itu berbau kasturi wangiannya. Namun, tidak terdapat sebarang nas yang menunjukkan bahawa di dalam syurga ada api, dan di dalam neraka terdapat tanah.
3. Api merupakan sebab kepada azab seksaan. Manakala tanah pula tidak.
4. Tanah tidak berhajat kepada api. Manakala api pula berhajat kepada tempat dan di antara tempatnya adalah tanah.
5. Tanah apabila diletakkan benih di atasnya, ia akan menghasilkan pokok-pokok hasilnya seperti buah-buahan dann sayuran. Manakala api sekiranya diletakkan pokok di atasnya, ia akan menghasilkan habuk dan debu.
Demikian juga kenyataan dan qiyas iblis tersebut dibantah dengan dua hujah berikut:
1. Iblis mengatakan bahawa mulianya asal menunjukkan kepada mulianya cabang. Hakikatnya, mulianya asal sama sekali tidak menunjukkan kepada mulianya cabang. Ia sama seperti hinanya asal tidak membawa erti hina juga cabang yang terhasil darinya.
Sebagai contoh: Kemuliaan Nabi Nuh عليه السلام tidak membawa kepada kemuliaan anaknya yang kafir dan mengingkari ajaran dan seruan baginda عليه السلام.
Begitu juga, anak yang terhasil daripada zina tidaklah kita mengatakan bahawanya ia adalah anak yang jahat, buruk, lagi hina.
2. Sekiranya kita bersetuju dengan kenyataan bahawa mulianya asal usul menunjukkan kepada mulianya keturunan, ianya tetap tidak menjadi suatu halangan untuk bersujud kepada orang yang kurang kemuliaannya, sekiranya hal tersebut merupakan suatu arahan dari Allah ﷻ.
Maka beberapa hujahan di atas ini jelas menunjukkan bahawa qiyas iblis adalah suatu qiyas yang fasid (rosak) lagi batil.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami konklusikan pengertian qiyas iblis ini seperti berikut:
Pertama: Qiyas iblis adalah apa sahaja qiyas yang bercanggahan dengan nas.
Kedua: Setiap qiyas yang membawa kepada perlanggaran hukum dan arahan Allah ﷻ adalah merupakan qiyas iblis. Golongan yang melakukan qiyas seumpama ini dianggap sebagai pengikut iblis.
Maka, para fuqaha Islam yang mengguna pakai qiyas dalam sudut yang tidak bercanggahan dengan nas, tidak membawa kepada pengingkaran hukum Tuhan, mengikut lunas-lunas dan kriteria yang telah disepakati ulama, ini adalah qiyas yang tepat lagi diterima. Semoga Allah ﷻ memberikan kefahaman yang benar kepada kita semua dalam beragama. Aamiin.
Leave a Reply