Ayat pendamaian

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

وَنَزَعْنَا مَا فِيْ صُدُوْرِهِمْ مِّنْ غِلٍّ اِخْوَانًا عَلٰى سُرُرٍ مُّتَقٰبِلِيْنَ

Wa naza‘nā mā fī ṣudūrihim min gillin ikhwānan ‘alā sururim mutaqābilīn(a).

“Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sehingga mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.”

Surah al-Hijr Ayat 47

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

Sebelum ini telah disebut nikmat fizikal di dalam Syurga, sekarang disebut nikmat emosi pula.

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ

“Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka,”

Sekarang ayat ini iltifad (perubahan) kembali kepada pihak gha’ibah (pihak ketiga). Ini adalah peristiwa sebelum ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga. Iaitu Allah ﷻ akan hilangkan segala rasa tidak sedap hati ahli syurga itu. Apakah maksudnya?

Kadang-kadang kita ada rasa tidak sedap hati walaupun sesama saudara seislam. Perasaan ini mungkin seperti dendam, dengki, iri hati dan sebagainya. Ini biasa sahaja kalau ada kerana kita pun manusia juga dan kadang-kadang kita tidak dapat mengawal perasaan kita. Kadang-kadang tidak dapat dielakkan. Kadang-kadang ada kata-kata orang yang menyakitkan hati kita dan kita pula cepat terasa hati dan makan hati. Dikatakan bahawa ahli syurga itu masih ada lagi perasaan itu. Namun begiut ia akan dihilangkan seperti juga disebut dalam Surah A’raf Ayat 43

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ

“Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka”

Allah ‎ﷻ akan mencabut daripada hati mereka (bersihkan) segala perasaan hasad dengki yang memudarkan kehidupan di dunia dulu. Perasaan ini tidak boleh ada di dalam syurga kerana akan mengurangkan nikmat syurga, bukan?

Kalimah نزع bermaksud perbuatan mencabut hingga ke akar umbi. Maksudnya cabut habis. Kalimah ini juga digunakan oleh kita apabila kita kata seseorang itu dalam keadaan nazak. Maknanya dia sedang ditarik nyawanya oleh malaikat maut.

Perasaan ini dinamakan غِلٍّ iaitu perasaan tidak enak dalam hati kerana tidak selesai sesuatu perkara. Mereka tidak ada perasaan yang tidak elok. Ini kerana hidup dari segi fizikal senang, tetapi sekiranya dalam hati ada perasaan dengki, atau apa-apa sahaja perasaan yang tidak molek seperti sedih, geram, tidak puas hati dan sebagainya, itu maknanya tidak senang juga sebenarnya.

Lafaz غِلٍّ bermaksud perasaan hasad dengki yang rahsia terhadap seseorang. Ini termasuk perasaan benci terhadap seseorang dan juga dendam. Kadang-kadang kalau kita benci sangat kepada seseorang, atau kita marah kepada seseorang, perasaan itu akan bermain-main dalam hati dan perasaan kita, yang menyebabkan kita tidak senang duduk dan hati tidak tenteram, bukan? Perasaan itu tidak ada di syurga nanti. Allah ‎ ﷻ akan hilangkan sepenuhnya.

As-Saddi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai (Surah al-A’raf Ayat 43), hingga akhir ayat. Sesungguhnya ahli syurga itu apabila digiring masuk ke syurga, maka mereka menjumpai di dekat pintu syurga sebuah pohon yang pada akarnya terdapat dua mata air. Kemudian mereka minum daripada salah satunya, maka tercabutlah (terhapuslah) daripada dada mereka semua dendam kesumat yang ada; minuman tersebut dinamakan ‘minuman kesucian’. Kemudian mereka mandi daripada mata air yang lainnya, maka mengalirlah ke dalam tubuh mereka kesegaran yang penuh dengan kenikmatan, sehingga diri mereka tidak awut-awutan (kusut masai) dan tidak pucat lagi untuk selama-lamanya.

Satu pendapat mengatakan tempat ini adalah Qantharah. Di sinilah yang akan diselesaikan dendam kesumat antara sesama manusia sampai hilang perasaan tidak puas hati itu kerana telah diselesaikan. Mungkin ramai tidak pernah dengar tentang hal ini. Rasulullah ﷺ bersabda,

خْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ مِنَ النَّارِ فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ أَهْدَى بِمَنْزِلِهِ فِي الْجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا

“Orang-orang beriman yang telah selamat daripada api neraka (telah melewati sirat/jambatan yang ada di atas punggung neraka, pent) akan tertahan di Qantharah (sebuah tempat di antara syurga dan neraka). Kemudian ditegakkanlah qisas terhadap sebahagian mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh salah seorang di antara mereka lebih faham terhadap tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.”

Riwayat Bukhari

Juga disebutkan dalam beberapa kitab-kitab akidah, salah satunya adalah Al-Aqidah Al-Wasithiyah karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ, beliau berkata,

فمن مر على الصراط دخل الجنة‏.‏ فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض‏.‏ فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم دخول الجنة

“Barangsiapa yang melewati sirat akan masuk syurga. Jika mereka melewatinya, mereka akan berhenti di Qantharah antara syurga dan neraka. Maka mereka saling qisas satu sama lainnya. Jika mereka setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga.”

Oleh itu, akan berjumpalah orang-orang yang tidak berpuas hati sesama sendiri. Kena bayar dendalah. Akan tetapi di sana bukan ada duit, maka yang digunakan sebagai barang tukaran adalah pahala dan dosa. Yang buat salah kena beri pahala dia kepada yang dizalimi dan kalau habis pahalanya, maka dia kena ambil dosa orang yang dizalimi itu.

Akan tetapi mungkin tidak semua perlu melalui perkara ini kerana ada pendapat yang mengatakan perasaan ghil itu boleh dihilangkan dengan ‘minuman kesucian’ sahaja. Bila minum sahaja, hilanglah perasaan tidak enak itu.

Di manakah Qantharah ini? Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

واختلف العلماء في هذه القنطرة؛ هل هي طرف الجسر الذي على متن جهنم أو هي جسر مستقل؟! والصواب في هذا أ نقول : الله أعلم، وليس يعنينا شأنها، لكن الذي يعنينا أن الناس يوقفون عليها

“Ulama’ berselisih mengenai Qantharah, apakah ia merupakan hujung dari jambatan (sirat) yang berada di atas punggung Jahannam atau jambatan yang berdiri sendiri. Yang benar mengenai hal ini, kita katakan: “Allahu a’lam, Allah lebih mengetahui, tidak pasti perkaranya akan tetapi yang pasti manusia akan berhenti di sana.”

Kesimpulannya, di syurga nanti tidak ada perasaan غِلٍّ itu kerana ia sesuatu yang memang tidak menyenangkan. Maka di dunia ini juga kita sedaya upaya cuba untuk menghilangkannya. Kita kenalah berbaik dengan sesama Muslim. Akan tetapi kita memerlukan juga pertolongan Allah ‎ﷻ kerana kita sendiri tidak mampu untuk menghilangkannya sendiri. Sebab itu Allah ‎ ﷻ ajar kita doa untuk menghilangkannya di dalam Surah Hashr Ayat 10:

وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا

“dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman”

Semoga kita jangan ada dengki dan hasad sesama kita kerana ia hanya memakan diri kita sahaja. Tidak dapat dinafikan perasaan ini memang susah hendak dihilangkan. Kadangkala orang pandang kita lain macam, kita sudah terasa; orang marah kita, kita terasa. Ini kerana kita senang terkesan dengan perkataan manusia. Begitu juga, kalau orang lain dapat rezeki lebih pun kita terasa; orang lain naik pangkat, kita terasa; orang dapat anak pun hendak terasa juga.. macam-macam. Inilah antara punca manusia tidak bahagia di dunia.

Kita lupa yang semua itu adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Kita lupa yang hidup ini memang ujian yang kadangkala kita kena berhadapan dengan orang yang toksik sifat mereka. Kadang kita pun lupa yang kita sendiri yang ada masalah menyebabkan orang marah kita, tidak sukakan kita. Kita hendak orang layan kita macam kita raja, tetapi kita sedarkah siapa kita ini?

Kenapalah kita hendak layan perasaan tidak baik ini? Adakah apa-apa kelebihan kepada kita kalau kita ghil, dengki, hasad dengan orang lain? Tidak ada, bukan? Buat sakit hati kita sahaja. Kalau tidak ada perasaan itu semua, bukankah tenang-tenang sahaja hari-hari kita? Oleh itu, cubalah hilangkan perasaan itu, jangan tunggu di akhirat sahaja.

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ, berkata, “Sesungguhnya di dunia terdapat syurga yang seperti (merupakan representasi) syurga akhirat. Barangsiapa yang memasuki syurga dunia itu maka dia kelak akan memasuki syurga akhirat, dan barangsiapa yang tidak memasuki syurga dunia tersebut nescaya dia tidak akan memasuki syurga akhirat.” (Ad-Dāwad Dawā 186 dan Madārij as-Sālikīn vol I 454)

إِخوٰنًا

“mereka merasa bersaudara”

Allah ﷻ akan hilangkan perasaan tidak sedap itu sampai mereka rasakan mereka itu bersaudara. Allah ﷻ kata Dia sendiri yang akan keluarkan dan hilangkan غِلٍّ itu kerana Allah ﷻ tahu yang kita sendiri tidak mampu keluarkan sendiri. Walaupun kita cuba sedaya upaya untuk hilangkan perasaan itu, tetapi tetap tidak boleh, sampai dibawa mati pun ada.

Akan tetapi jangan dilayan perasaan itu. Sepatutnya kita kena jaga hati kita supaya kita tidak ada perasaan buruk terhadap sesama Muslim. Sebaliknya kita kena berkasih sayang sesama sendiri seperti disebut di dalam banyak hadis, antaranya,

ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

“Sayangilah siapa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh yang ada di langit”

Riwayat Tirmidzi 1924

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوادِهِمْ، وتَراحُمِهِمْ ، وتَعَاطْفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذا اشْتَكَى مِنهُ عُضْقَ تَداعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ والحُمّى

“Perumpamaan sesama kaum mukminin dalam menjaga hubungan kasih sayang dan kebersamaan seperti satu tubuh, jika satu anggota merasakan sakit, maka akan membuat seluruh tubuhnya terjaga dan merasakan demam.”

Riwayat Muslim 2586

Antara yang boleh menimbulkan sayang sesama Muslim adalah dengan memberi salam sesama kita. Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: Islam manakah yang paling baik? Nabi ﷺ bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.

Riwayat al-Bukhari 11, 27 & 5767 Muslim 56

عَلىٰ سُرُرٍ مُّتَقٰبِلينَ

“di atas pelamin-pelamin mereka duduk berhadap-hadapan.”

Apabila sudah hilang rasa غِلٍّ itu, barulah boleh duduk berhadap-hadapan. Kalau tidak, tentu susah untuk bersua muka. Kadang-kadang kalau kita ada perasaan geram dan benci kepada seseorang, hendak pandang muka dia atau nak dengar suara dia pun tidak boleh.

Ini adalah suasana di dalam syurga di mana Allah ﷻ boleh buat sampaikan semua orang yang tinggal bersama di dalam syurga boleh berhadapan sesama sendiri. Kalau di dalam dunia sekarang, kita mungkin boleh mengadap sebahagian sahaja.

Ayat ini juga memberi isyarat bahawa kita akan duduk dalam keadaan mewah di dalam syurga. Kerana syurga ini bukan tempat untuk buat kerja atau buat ibadat lagi, tetapi tempat untuk menikmati segala nikmat di dalam syurga. Ia adalah tempat untuk memenuhi nafsu sahaja. Tempat istirehat yang paling baik, sampaikan duduk pun di atas dipan – boleh juga diterjemahkan sebagai singgahsana atau pelamin. Dari segi bahasa Arab Moden, kalimah سُرُرٍ bermaksud katil, tetapi ahli syurga tidak tidur maka tidak sesuai pula. Kerana سُرُرٍ di dalam syurga adalah tempat lepak, tidur tidak, duduk pun tidak.

Lihat Celik Tafsir di sini.