بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
طه
Ṭāhā.
“Ta Ha”
Surah Taha Ayat 1
Tafsir
Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat ini sahaja.
Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Memang ada maknanya cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya.
Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah ﷻ tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim. Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu.
Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agakan mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’.
Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.
Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.
Jadi, apabila Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.
Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Qur’an yang Allah ﷺ telah jadikan untuk kita.
مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ
Mā anzalnā ‘alaikal-qur’āna litasyqā.
“Tidaklah Kami turunkan kepada kamu (Muhammad) Al-Qur’an itu untuk menyusahkan kamu.”
Surah Taha Ayat 2
Tafsir
مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ
“Tidaklah Kami turunkan kepada kamu (Muhammad)”
Perkataan أَنْزَلْنَا bermaksud ‘Kami menurunkan’. Iaitu Allah ﷻ telah menurunkan Qur’an. Kalimah نَزَّلَ bermaksud turun sikit-sikit. أنزَلَ bermaksud turun sekaligus. Kedua-duanya bermakna ‘diturunkan’, tapi ada perbezaan dengan cara penurunan itu.
Kitab-kitab lain selain dari Qur’an telah diturunkan kepada Nabi-nabi tertentu secara sekaligus. Tapi Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ sedikit demi sedikit sepanjang hampir 23 tahun. Tapi dalam masa yang sama, Qur’an juga pernah diturunkan sekaligus – iaitu pada Malam Lailatul Qadr di mana Qur’an telah diturunkan lengkap daripada Luh Mahfuz ke langit pertama. Kemudian, dari langit Pertama itu, Qur’an telah diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Perkataan عَلَيْ (ke atas) digunakan untuk menunjukkan ‘tanggungjawab’ Qur’an yang diberikan kepada Nabi ﷺ. Ini berbeza dengan penggunaan kata ‘إلى’ (kepada). Kalau ‘إلى’ digunakan, ia menekankan sifat ‘kelebihan’ yang diberikan. Dua-dua elemen itu ada pada Qur’an. Tapi dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak menekankan elemen ‘tanggungjawab’ dalam memegang Qur’an itu. Nabi ﷺ telah diberikan dengan bebanan Qur’an yang perlu Nabi sampaikan kepada umat manusia.
الْقُرْآنَ
“Al-Qur’an”
Perkataan ‘Qur’an’ ini ada yang mengatakan diambil dari kata dasar ق ر أ yang bermaksud ‘membaca’. Ditambah huruf Nun untuk memperbesarkan maknanya (mubalaghah). Oleh itu, ‘Qur’an’ bermaksud ‘yang banyak dibaca’. Macam juga perkataan ‘Rahman’ diambil dari perkataan rahmah yang ditambah ن dihujungnya – untuk menekankan bahawa rahmat yang Allah ﷻ berikan kepada makhluk itu terlalu banyak.
Oleh itu, dari nama Qur’an itu sahaja sudah menunjukkan kepada kita bahawa Qur’an itu kena selalu dibaca. Bukan dibaca dalam solat sahaja, tapi di luar solat juga. Kerana Qur’an itu adalah panduan hidup kita sepanjang masa. Kalau kita tak buat macam itu, kita sudah tidak menepati namanya yang telah dipilih oleh Allah ﷻ sebagai nama kepada KalamNya.
Ada juga yang berpendapat bahawa makna ‘Qur’an’ itu diambil dari kata dasar ‘ق ر ن’ yang bermaksud ‘menyambungkan sesuatu’. Dari situ jugalah perkataan Qarin diambil – seperti kita tahu, setiap manusia yang lahir akan diberikan seekor jin yang dipanggil ‘qarin’ sebagai pendamping kita yang sentiasa ada bersama kita.
Ataupun qarana juga bermaksud sesuatu yang sentiasa bersama dengan kita walau di mana kita berada. Sebagai contoh, seorang kawan yang sentiasa dengan kita. Kita akan menghabiskan masa dengannya. Rapat sangat sampai tidak berenggang lama. Kita juga selalu bercakap-cakap dengan dia.
Begitu jugalah kita dengan Qur’an, kita hendaklah sentiasa bersama dan berinteraksi dengan Qur’an. Bukanlah maksud ‘bersama’ itu bermakna Qur’an ada sahaja dengan kita dalam bentuk mushaf yang kita pegang sahaja, atau ada dalam handphone kita dan sebagainya, tapi hendaklah kita selalu melihat dan membacanya.
Seperti kita telah sebut tadi, perkataan ‘ق ر ن’ bermaksud menyambungkan sesuatu – maka kita boleh lihat bagaimana Qur’an itu mengandungi ayat-ayat Allah ﷻ yang dihimpunkan bersama dalam satu tempat.
Jadi, manakah mana yang betul? Dua-dua makna boleh dipakai. Itulah keindahan Qur’an. Dua-dua pendapat itu adalah kuat dan boleh digunakan sebagai panduan untuk kita. Apabila digabungkan dua-dua makna sekali, ia membawa kepada satu pemahaman yang lebih hebat dan mantap.
Ada satu lagi keindahan Qur’an yang kita boleh lihat dalam penggunaan perkataan yang Allah sendiri pilih. Apabila Allah ﷻ mula menggunakan perkataan ‘Qur’an’ di permulaan ayat, Allah ﷻ akan menggunakan perkataan ‘Qur’an’ juga untuk merujuk kepada Qur’an sepanjang surah tersebut.
Tapi jangan lupa yang ada juga ayat-ayat yang menggunakan perkataan al-Kitab untuk merujuk kepada Qur’an di surah-surah yang lain. Kalau di awal surah yang mula menggunakan perkataan ‘Kitab’, Allah ﷻ akan terus menggunakan perkataan ‘Kitab’. Itulah kesinambungan yang ada dalam Qur’an.
لِتَشْقَىٰ
“untuk menyusahkan kamu.”
Tidaklah arahan dalam Qur’an ini diturunkan kepada kita untuk menyusahkan kita. Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk memberitahu kepada baginda bahawa baginda tidak perlu susah-susah dalam perkara solat sampai tidak tidur langsung. Kepada kita pula, tidak perlu kita menyusahkan diri teruk sangat dalam ibadat kita dengan melakukan perkara yang tidak perlu.
Sebagai contoh, ada yang mengangkat takbir banyak kali dalam Takbiratul Ihram. Sudah tentu kita biasa lihat bagaimana ada orang-orang yang susah sangat mereka hendak ‘masuk niat’ dalam solat dan sampai takbir berkali-kali. Ini adalah kerana ada yang memberi ajaran yang susah sangat dalam mengangkat takbir supaya ada masuk niat. Ajaran itu tidak ada dalam syarak tapi ditambah kemudian yang menyusahkan manusia.
Ketahuilah yang agama Islam ini tidak memberatkan penganutnya. Maka, kalau ada ajaran agama yang sampai menyuruh sampai kena bertapa dalam gua, dalam kubur dan dalam hutan, itu bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar. Tapi yang melakukannya adalah golongan Tarekat yang senang ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak ada ilmu asas.
Sebab itulah, apabila dalam Syiah ada mengajar umatnya memukul badan mereka sampai berdarah-darah, itu sudah menunjukkan bahawa itu bukanlah Islam sebenarnya. Dengan tengok cara itu pun kita sudah tahu yang itu ajaran sesat dan tidak patut ada manusia yang boleh percaya kepada ajaran sebegitu.
Asbabun Nuzul (sebab turun) ayat ini: Ada pemuka Quraish yang datang kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kata kepada baginda bahawa semenjak Qur’an diturunkan kepada baginda, hidup baginda semakin susah. Nabi ﷺ telah dicerca dan dihina dengan berbagai-bagai cara. Pengikut Nabi ﷺ yang beriman telah diganggu, malah ada yang diseksa dan dibunuh. Nampak susah pula hidup baginda semenjak baginda dapat wahyu itu.
Jadi apabila perkataan ‘مَا’ digunakan, ianya untuk menidakkan sesuatu, iaitu menidakkan kata-kata mereka itu. Ianya tidak sama dengan penggunaan kata ‘لا’. Kalau digunakan perkataan ‘لا’, ianya hanya bermaksud ‘tidak’. Maka Allah ﷻ hendak memberitahu, tidaklah benar sangkaan dan tuduhan mereka itu.
Kalimah لِتَشْقَىٰ bermaksud ‘menyusahkan’ atau ‘menyebabkan tekanan’. Objektif Surah Taha ini adalah untuk memberitahu kepada umat Islam bahawa Islam itu adalah satu keberkatan, bukan satu kesusahan. Dijelaskan dengan tepat sekali dalam ayat pertama ini. Memang selepas Nabi ﷺ diangkat menjadi Nabi dan Rasul, kehidupan baginda telah berubah dengan drastik sekali.
Apabila baginda telah disuruh untuk berdakwah secara umum, baginda telah dicerca, ditohmah dan berbagai lagi. Kalau dulu, tidaklah baginda menerima nasib begitu, malah baginda dihormati sampai diberi gelaran al-Amin (yang dipercayai). Tapi selepas baginda mula berdakwah secara terbuka, baginda terpaksa menerima semua tentangan itu dari puak Musyrikin Mekah.
Bukan itu sahaja, selain dari tekanan yang diberikan oleh puak musyrik, baginda juga rasa tertekan dengan tugas yang telah diberikan kepada baginda. Baginda sedar betapa besarnya tugas yang telah diberikan kepada baginda itu. Baginda sedar yang keselamatan seluruh umat baginda terbeban ke atasnya. Dan baginda adalah seorang manusia yang amat mementingkan tugas yang telah diberikan kepada baginda. Maka, baginda telah rasa tertekan sangat.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ relaks sikit. Nabi Muhammad ﷺ begitu tekun menjalankan apa yang disuruh oleh Allah ﷻ, sampai kepada tahap baginda akan buat lebih dari apa yang disuruh. Allah ﷻ sampai kena cakap kepada Nabi ﷺ untuk mengurangkan sikit apa yang baginda buat itu. Lepas ayat ini diturunkan, barulah Nabi ﷺ akan tidur dulu dan bangun kemudian pada sepertiga malam untuk beribadat. Kalau dulu, Nabi ﷺ tidak tidur langsung.
Nabi sedih apabila umat baginda tidak menerima dakwah baginda. Itu yang berat pada diri Nabi ﷺ. Bukanlah baginda rasa tertekan sangat kerana kena kacau atau kena tohmah oleh puak Musyrikin Mekah itu. Itu tidak merisaukan baginda sangat. Tapi Nabi ﷺ amat sedih kerana mereka tidak menerima dakwahnya. Baginda hendak menyelamatkan mereka tapi mereka tak mahu nak ikut.
Jadi dalam ayat ini Allah ﷻ hendak menenangkan Nabi ﷺ. Tidak ada manusia yang dapat menyelamatkan semua orang. Ianya akan merosakkan diri baginda kalau baginda berterusan macam itu. Hidayah itu di tangan Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tidak boleh memberi hidayah kepada mereka. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja.
Kesedihan yang dialami oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah salah satu dari sifat manusia. Ini menunjukkan Nabi Muhammad ﷺ juga adalah manusia juga. Maka tidaklah benar kalau ada golongan yang mengatakan Nabi ﷺ itu bukan manusia biasa sampai mereka mengagungkan Nabi ﷺ lebih dari yang sepatutnya. Ini pun selalu terjadi dalam fahaman golongan Sufi Tarekat.
Ayat ini juga boleh ditafsirkan begini: bukanlah Qur’an ini diturunkan ke atas kamu supaya kamu ‘terus’ dalam kesusahan. Ini bermakna Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ bahawa kalau Nabi ﷺ merasakan kesusahan dalam menyampaikan dakwah Islam ini, percayalah bahawa ianya tidak akan berterusan. Kepayahan dan tekanan yang baginda alami itu tidak akan berpanjangan. Nabi ﷺ akan merasakan kesenangan kemudiannya. Dan pada hari akhirat nanti baginda akan dibalas dengan nikmat yang berterusan.
Persoalan yang timbul: Kita tahu bagaimana Musyrikin Mekah telah tidak mahu menerima dakwah Nabi ﷺ dan mereka telah menentang Nabi ﷺ dan para sahabat sampaikan mereka telah berbuat khianat kepada mereka. Bolehkah kita mendoakan kehancuran mereka yang tidak menerima dakwah kita?
Kalau kita kata tidak boleh, bagaimana dengan Nabi Nuh yang telah berdoa begitu kepada Allah ﷻ supaya menghancurkan umatnya? Maka kita sedar perbezaan antara kita dan Nabi Nuh. Walaupun memang Nabi Nuh ada angkat doa sebegitu tapi Nabi Nuh buat macam itu setelah berapa lama dia berdakwah kepada mereka? Sedangkan kita sudah dakwah berapa lama? Kalau kita memang sudah berdakwah selama 950 tahun, barulah kita layak untuk menadah tangan dan mendoakan kehancuran untuk penentang kita.
إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَىٰ
Illā tażkiratal limay yakhsyā.
“Melainkan Qur’an ini sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang ada sifat gerun dan takut (kepada Allah ﷻ).”
Surah Taha Ayat 3
Tafsir
Kalau Qur’an itu bukan untuk menyusahkan kita, lalu apakah tujuan Qur’an diturunkan?
إِلَّا تَذْكِرَةً
“Melainkan Qur’an ini sebagai satu peringatan”
Qur’an mengandungi begitu banyak peringatan kepada kita bagaimana menjalani kehidupan kita di dunia ini supaya kita akan selamat di akhirat kelak. Kalau kita menerima peringatan itu dan mahu mengamalkan suruhan Allah ﷻ dalam Qur’an, kita akan selamat di dunia dan juga di akhirat.
Perkataan تَذْكِرَةً bermaksud ‘peringatan yang besar’. Ianya bukan peringatan yang biasa-biasa sahaja. Perkataan تَذْكِرَةً diambil dari katadasar ذ ك ر yang bermaksud ‘peringatan’. Tapi apabila ianya telah dijadikan dalam bentuk تَذْكِرَةً, ianya bermaksud ‘peringatan yang besar’ kerana ada pertambahan huruf di dalamnya. Ianya juga mempunyai elemen ‘berterusan’. Iaitu Qur’an tidak berhenti mengingatkan kita.
لِمَنْ يَخْشَىٰ
“bagi orang-orang yang ada sifat gerun dan takut;”
Iaitu kepada mereka yang gerun dan takut kepada Allah ﷻ. Orang yang tak ada perasaan gerun dalam hatinya tidak akan dapat peringatan itu. Dan untuk dapat gerun itu, kena ada sifat inabah, iaitu keinginan untuk kembali kepada Allah ﷻ. Iaitu mereka yang dalam hatinya berdoa: “Ya Allah, tunjuklah pada aku jalan yang lurus”.
Ini penting untuk kita doakan kepada Allah ﷻ. Kerana dalam dunia Islam sekarang, terlalu banyak pendapat yang berbagai-bagai dan kadang-kadang berlawanan antara satu lain. Maka bagaimana kita nak dapat tahu mana satukah jalan yang benar? Itulah sebabnya kita kena minta dengan Tuhan untuk tunjukkan kepada kita jalan yang benar.
Apabila kita sudah mula belajar tafsir Qur’an dan sudah mula faham isi kandung Qur’an, hati kita dengan sendirinya akan jadi takut dan gerun kepada Allah ﷻ.
Kita telah sebutkan di ayat sebelum ini, bagaimana Nabi ﷺ amat sedih dengan penerimaan yang kurang dari umatnya. Baginda amat sayangkan umatnya dan baginda mahu menyelamatkan mereka. Tapi mereka tidak mahu mendengar. Salah satu tafsir mengatakan, perasaan sedih itu pun sebagai peringatan juga kepada Nabi ﷺ.
Apabila huruf لِ (untuk) digunakan, ianya menunjukkan bahawa peringatan itu hanya layak diterima oleh orang tertentu sahaja. Bukan semua orang yang mendengar ayat-ayat suci Qur’an itu dibaca akan menjadikan ayat-ayat itu sebagai peringatan. Maka beruntunglah kalau kita mahu belajar tafsir Qur’an dan mahu menerima peringatan-peringatan dari Allah ﷻ kerana bukan semua orang akan dapat peringatan itu.
Perkataan خْشَىٰ itu bermaksud ‘takut yang amat’. Ianya adalah satu jenis takut yang sampai boleh melumpuhkan seseorang. Mereka akan rasa terkesan sangat dengan apa yang mereka takut itu sampai tubuh badan mereka kaku.
Ayat ini tidak menyebut apakah yang mereka takutkan itu. Jadi, ianya adalah dalam bentuk yang umum. Kerana ada banyak perkara yang dapat menakutkan kita. Antaranya yang kita boleh sebut adalah tentang mereka yang apabila mereka membaca atau dibacakan ayat-ayat Qur’an, mereka akan takut dengan kesan perbuatan salah mereka selama mereka di dunia ini.
Mereka takut kalau-kalau mereka telah membuang masa sahaja selama mereka di dunia ini. Itu hanya akan terjadi kepada mereka yang mahu mendengar. Yang mencuba untuk memahami tentang agama. Kepada mereka yang buat tidak endah sahaja, mereka tidak akan dapat apa-apa.
Jadi, ayat-ayat Qur’an ini hanya dapat dijadikan peringatan kepada mereka yang ada keinginan untuk tahu sahaja. Semoga kita dimasukkan oleh Allah ﷻ ke dalam golongan orang yang sebegini.
Kita tidak tahu siapakah mereka yang ada rasa itu dalam diri mereka. Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak tahu. Kerana Nabi ﷺ tidak tahu perkara ghaib kecuali diberitahu oleh Allah ﷻ. Tugas kita hanya berdakwah kepada manusia. Iman boleh diibaratkan sebagai satu batu kecil dalam diri manusia. Tugas kita adalah menyampaikan dan semoga Allah ﷻ mengeluarkan iman itu dari dalam diri manusia itu.
Kita hanya boleh sampaikan sahaja kerana yang boleh beri hidayah adalah Allah sahaja. Dalam sejarah Islam, banyak sahabat yang hanya masuk Islam setelah beberapa tahun menerima dakwah. Antaranya Umar, Hamzah bapa saudara Nabi ﷺ, Abbas bapa saudara Nabi ﷺ dan begitu juga Abu Sufyan dan Khalid al Walid. Bayangkan Abu Sufyan itu berperang menentang Nabi ﷺ bertahun-tahun dan akhirnya beliau masuk Islam juga dan menjadi seorang mukmin. Maknanya, kita tidak tahu siapa yang Allah ﷻ takdirkan dapat iman.
تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى
Tanzīlam mimman khalaqal-arḍa was-samāwātil-‘ulā.
“Yang menurunkannya ialah Dzat yang menciptakan tujuh bumi dan tujuh lapis langit yang amat tinggi.”
Surah Taha Ayat 4
Tafsir
تَنْزِيلًا
“Yang menurunkannya”
Perkataan تَنْزِيلًا bermaksud ayat-ayat Qur’an itu diturunkan kepada Nabi ﷺ sedikit demi sedikit – beransur-ansur. Mengambil masa selama lebih kurang 23 tahun. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Ada pengajaran yang tinggi dalam maksud perkataan itu yang boleh kita ambil sebagai pengajaran buat kita. Ianya mengajar kita untuk belajar makna ayat-ayat Qur’an itu sikit demi sikit. Bukan sekaligus, kerana kita tidak dapat menerima dan memahaminya kalau diberikan kepada kita dengan banyak dan cepat. Maka jangan kelam kabut nak habiskan belajar tafsir.
Macam hujan yang menyirami tanah. Ianya dalam dalam bentuk turun sikit-sikit, tidak mencurah-curah sampai boleh merosakkan tumbuhan dan kehidupan di dunia. Macam juga kita siram pokok. Kita akan siram sikit-sikit supaya pokok yang disiram dapat terima dan menggunakan air itu. Tapi kalau kita nak jimat masa kononnya, kita terus bagi air banyak sangat, tentu pokok itu akan mati.
Maka dalam mempelajari tafsir Qur’an, yang penting adalah kualiti. Kita disuruh tadabbur dan memahami dengan mendalam ayat-ayat yang disampaikan. Kalau kita terus terima banyak sangat ayat pada satu masa, fikiran kita tidak dapat menerimanya dan kita akan terus melupai semua yang kita belajar itu. Maka kita perlu belajar sikit, fahamkan dan amalkan dan belajar lagi secara berterusan.
مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ
“ialah dari Dzat yang menciptakan tujuh lapis bumi”
Dari siapa Qur’an ini diturunkan? Ianya dari Allah ﷻ yang mencipta bumi yang kita hidup ini. Maka jangan kita ambil ringan Qur’an ini. Apabila Allah ﷻ turunkan kepada kita, kita kena faham apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Maka untuk faham, kena belajar tafsir Qur’an, bukan setakat baca sahaja.
Allah ﷻ juga menyebut الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ (bumi dan langit) untuk menyuruh kita memikirkan tentang keindahan dan kehebatan alam ini. Yang menciptanya adalah Allah yang Maha Berkuasa.
وَالسَّمَاوَاتِ
“dan tujuh lapis langit”
Allah ﷻ juga mencipta langit. Tapi terdapat satu kelainan sedikit dalam ayat ini. Selalunya, Qur’an akan menyebut langit dahulu dan kemudian baru bumi. Tapi Allah ﷻ ubah susunan itu dalam ayat ini. Ada sebabnya kenapa Allah ﷻ buat macam itu dan kita akan tahu nanti.
Ini adalah kerana ianya bertujuan untuk menyentuh hati manusia yang terlalu memandang dunia yang zahir di depannya. Kebanyakan manusia bersifat materialistik. Allah ﷻ menyentuh bumi dulu yang melambangkan keduniaan dan kemudian Allah ﷻ sebut langit untuk mengajak manusia untuk meninggikan pandangan mereka untuk memikirkan tentang alam langit yang tinggi. Jangan pandang bumi dan dunia ini sahaja.
الْعُلَى
“yang amat tinggi”
Bukan sahaja Allah ﷻ mengajak kita untuk memikirkan tentang langit, tapi Allah ﷻ juga menyebut sifat langit iaitu ianya berada tinggi. Dalam ayat-ayat lain, apabila Allah ﷻ menyebut tentang langit, Allah ﷻ tidak menyebutkan tentang sifat ketinggiannya. Itu adalah sebagai penekanan Allah ﷻ lagi untuk kita memikirkan.
Tadi dalam ayat ke-2, Allah ﷻ bercakap dalam kata ganti kedua apabila bercakap dengan Nabi – عَلَيْكَ (ke atas engkau). Seperti Allah ﷻ sedang bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah isyarat bahawa Allah ﷻ amat rapat dengan Nabi ﷺ. Sebagai contoh, kalau kita hendak memujuk seseorang, kita hendaklah rapat dengan dia dulu.
Tapi dalam ayat ke-4 ini, Allah ﷻ bercakap dalam kata ganti diri ketiga. Ini adalah kerana apabila Allah ﷻ hendak mengatakan tentang kehebatanNya, Allah ﷻ menggunakan cara bahasa yang lain.
Allah ﷻ mengatakan bahawa langit itu amat tinggi: وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى. Untuk mengisyaratkan tingginya kedudukan Allah ﷻ yang kita tidak akan dapat faham. Kita tidak akan dapat capai ketinggian langit itu dan kita tidak akan dapat membayangkan ketinggian Allah ﷻ.
Apabila semakin tinggi pemikiran kita memikirkan tentang langit itu, dalam ayat yang seterusnya selepas ini, Allah ﷻ mengisyaratkan kita untuk memikirkan lebih tinggi lagi. Iaitu apakah yang lebih tinggi dari langit yang tinggi itu?
الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
Ar- raḥmānu ‘alal-‘arsyistawā.
“Tuhan ar-Rahman itu bersemayam di Arash.”
Surah Taha Ayat 5
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
الرَّحْمَٰنُ
“Tuhan ar-Rahman itu”
Setakat ini, Allah ﷻ tak sebut lagi nama ‘Allah’. Ini adalah kerana waktu itu, puak Musyrikin Mekah tidak suka apabila Nabi ﷺ berdakwah kepada mereka tentang Allah ﷻ. Kalau Nabi ﷺ sebut Allah ﷻ sahaja, mereka tak mahu dengar kerana mereka sudah ada pemahaman lain tentang Allah ﷻ. Jadi Allah ﷻ mengisyaratkan kepada nama Allah ﷻ yang lain – ar-Rahman.
Kebanyakan pendapat mengatakan ar-Rahman adalah salah satu sifat kepada Allah ﷻ. Tapi ada juga ulama yang kata ar-Rahman adalah satu lagi nama Dzat Allah ﷻ. Ini adalah kerana banyak kali nama ini digunakan dalam Qur’an.
عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
“di Arash Dia bersemayam”
Perkataan Arash selalu diterjemahkan sebagai ‘tahta’, tapi dari segi bahasa, ianya lebih sesuai digunakan untuk mengambarkan ‘pentas’. Bayangkan tahta seorang raja yang besar yang juga meletakkan ahli keluarganya juga. Itu adalah mengambarkan keadaan kalau di dunia. Tidaklah itu mengambarkan Arash Allah ﷻ. Arash Allah ﷻ tidak akan dapat dibayangkan oleh akal kita yang kerdil.
Ada beberapa hadis Nabi ﷺ yang menceritakan tentang Arash. Antaranya tentang kisah kebangkitan semula manusia. Nabi Muhammad ﷺ mengatakan bahawa baginda adalah yang pertama sekali akan dibangkitkan. Tapi apabila baginda sedar sahaja, baginda sudah nampak Nabi Musa berpegang dengan tiang Arash. Oleh itu, kita dapat tahu dari hadis ini yang Arash itu ada tiang. Tapi bagaimanakah rupanya, tidak dapat dibayangkan.
Dalam hadis lain juga ada menceritakan tentang malaikat-malaikat pemegang Arash. Mereka adalah malaikat-malaikat yang besar. Lebih besar lagi dari Jibrail.
Allah ﷻ bersemayam di Arash itu seperti yang selayaknya. Tidak boleh diberitahu macam mana. Tidak boleh kita nak memikirkan macam mana. Kita tidak ada kalimah lain dalam bahasa kita, jadi kita cuma boleh terjemahkan sebagai ‘semayam’ sahaja walaupun ia tidak tepat.
Apabila dikatakan Allah ﷻ bersemayam di atas Arash, bukanlah ia mengatakan Allah ﷻ memerlukan Arash. Bukanlah Allah ﷻ tidak dapat duduk kalau Arash itu tidak ada. Allah ﷻ bukan makhluk yang memerlukan tempat berdiri dan tempat duduk. Kita manusia memang memerlukan tempat, tapi tidak bagi Allah ﷻ.
Apabila dikatakan Allah ﷻ ‘di atas’, itu bermaksud Allah ﷻ bukan duduk di situ tapi lebih tinggi lagi. Fikiran kita tidak dapat menjangkau bagaimana kah keadaannya (dan memang tidak perlu fikirkan pun). Ayat ini adalah salah satu ayat-ayat jenis mutashabihat, yang tidak jelas maknanya. Kita hanya perlu beriman sahaja, tidak perlu menjelaskan dan membayangkan bagaimana keadaannya.
Tapi kerana banyak pendapat yang dikeluarkan, maka ianya menjadi kontroversi antara masyarakat kita. Ada banyak pertengkaran antara masyarakat Islam berkenaan perkara ini. Sampaikan kepada tahap kafir mengkafir sesama sendiri. Ada yang mengambil pendekatan menakwil keberadaan Allah ﷻ di atas Arash dan ada yang tidak.
Jalan yang selamat adalah dengan tidak menafsir dan menakwil apakah maksudnya. Kerana kita tidak akan dapat mencapai pemahaman yang sebenarnya tentang perkara itu. Kita hanya disuruh beriman sahaja dengannya. Kerana ini adalah termasuk jenis ayat-ayat mutashabihat yang tidak perlu kita pastikan apakah maknanya.
Sedangkan ketinggian langit pun akal kita tidak dapat mencapainya, apatah lagi Arash Allah ﷻ dan lebih-lebih lagi Allah ﷻ sendiri. Bahaya kalau kita termasuk dalam golongan yang cuba-cuba menakwil maksud ayat-ayat mustahabihat itu. Itu semua adalah perbuatan yang buang masa dan membahayakan penyatuan umat Islam.
Kalau kita lihat susunan perkataan dalam ayat ini, ianya adalah sesuatu yang menghairankan. Kerana susunannya adalah Tuhan Rahman – atas – Arash – istiwa‘. Padahal, dalam struktur bahasa Arab pun, susunan yang biasa adalah Tuhan Rahman – istiwa‘ – atas – Arash. Mufassir menafsirkan bahawa penggunaan struktur ayat sebegini adalah untuk memberikan turutan kepentingan perkara dalam ayat itu. Iaitu: Tuhan yang bersifat Rahman itu lebih penting dari Arash dan Arash itu lebih penting dari bagaimana istiwa’ Allah ﷻ atasnya.
Apakah yang kita boleh ambil pemahaman dari ayat ini? Seperti yang kita tahu, Allah lah yang menciptakan segalanya. Selepas Allah ﷻ mencipta semuanya, Allah ﷻ tidak membiarkan perjalanan makhlukNya begitu sahaja. Tapi Allah ﷻ sentiasa memerhati dan mentadbir kerajaanNya dari Arash. Allah ﷻ tadbir semua perkara dari sekecil-kecilnya sehingga ke sebesar-besarnya. Jangan kita rasa kita terlepas dari pandangan Allah ﷻ. Semua kita adalah tertakluk dalam kerajaanNya. KepunyaanNya lah apa yang ada di langit, di bumi dan diantaranya.
Berpecahlah manusia ramai-ramai tentang apakah maksud Allah ﷻ ‘bersemayam di Arash’. Ada golongan yang kata Allah ﷻ tidak bertempat, dan ada yang kata Allah ﷻ berada di mana-mana. Itu semua adalah fikrah yang salah. Fikrah yang selamat adalah manhaj salaf yang menetapkan apa yang telah disebut dalam Qur’an tanpa takyif, tahrif, tasybih, ta’thil dan tamtsil:
takyif – menanyakan bagaimana cara Allah ﷻ bersemayam
tahrif – penyimpangan dari apa yang Allah ﷻ telah sebutkan dalam Qur’an
tasybih – menyerupakan perbuatan Allah ﷻ dengan perbuatan makhluk. Tentunya cara Allah ﷻ bersemayam itu tidak sama dengan cara manusia duduk. Kita tidak tahu. Kita tidak akan dapat tahu.
ta’thil – penolakan. Allah ﷻ telah sebut dalam Qur’an. Bagaimana lagi kita hendak menolaknya? Adakah kita hendak tolak Qur’an?
tamtsil – menyamakan perbuatan Allah ﷻ sama dengan perbuatan makhluk.
Surah Taha Ayat 1 – 5
Lihat Celik Tafsir di sini.