Kedudukan Ayat al-Kursi dalam Al-Qur’an

Kategori:

Saya ingin bertanya Ayat Kursi tidak ada dalam Al-Qur’an, jadi dari mana ia datang? Mohon penjelasan.

Jawapan

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir 7532; al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra 9848 dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah 124. Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

Imam al-San’ani menyebut: “Kelebihan ayat al-Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah ﷻ seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-’Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)” (Lihat Subul al-Salam 1/297).

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Kelebihan ayat yang agung ini; kerana mengandungi nama-nama yang baik, sifat-sifat yang tinggi, tauhid, kehidupan yang sempurna, kekekalan yang kekal, ilmu yang luas, kerajaan yang meliputi segala, kekuatan yang besar, kekuasaan yang teguh, dan kehendak yang berkuasa.

Imam Ahmad 20771 dan Muslim 810 meriwayatkan: “Bahawa Nabi ﷺ bertanya kepada Ubay bin Ka’b: Ayat manakah dalam Kitab Allah yang paling besar?” Dia menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Nabi mengulanginya berulang kali. Ubay berkata: “Ayat Al-Kursi.” Nabi bersabda: “Ilmu kamu benar, wahai Abu Al-Munzir!” (Lihat Taudhih al-Ahkam 2/314).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Ayat Kursi merupakan sebahagian ayat daripada ayat-ayat Al-Qur’an. Kedudukan ayat kursi dalam Al-Qur’an adalah pada ayat yang ke 255, Surah al-Baqarah, juzuk yang ke 3. Firman Allah ﷻ:

‏ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ ‎

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).”

Surah al-Baqarah Ayat 255

Ibn Kathir berkata: Ayat ini dinamakan dengan Ayat al-Kursi. Ia memiliki kedudukan yang agung. Dalam hadith yang sahih, Rasulullah ﷺ pernah menyebut bahawa ayat al-Kursi merupakan ayat yang paling agung dan utama (Lihat Tafsir Al-Qur’an al-’Azim 1/465).

Syeikh al-Sa’di berkata: Ayat ini merupakan ayat yang paling agung dalam Al-Qur’an kerana ayat ini meliputi makna tauhid, kebesaran, dan luasnya sifat Allah ﷻ dan Allah mengkhabarkan bahawasanya tidak ada yang berhak memiliki sifat ketuhanan dan peribadahan kecuali hanya Dia. Ayat ini meliputi semua makna yang merupakan makna yang paling mulia yang menyebabkan berhak menjadi ayat yang paling agung di dalam Al-Qur’an, dan orang-orang yang membacanya dengan melakukan renungan dan pemahaman, maka dia berhak akan hatinya dipenuhi dengan keyakinan, pengetahuan dan keimanan, serta dia akan terjaga dengan hal itu daripada kejahatan syaitan (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman hlm 110).

Justeru kami katakan, Ayat al-Kursi adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al-Qur’an dan membacanya dianggap sebagai suatu ibadah. Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk menyeru pembaca agar sentiasa mengamalkan bacaan Ayat al-Kursi dalam menjalani kehidupan seharian, sama ada selepas solat, sebelum tidur atau pada waktu-waktu lain. Ini kerana terdapat banyak kebaikan dan keistimewaan bagi mereka yang mengamalkannya. Antaranya:

  • Merupakan Ayat yang Paling Agung dan Utama

Daripada Ubai bin Ka’ab رضي الله عنه, katanya: Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ ‏.‏ قَالَ فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ ‏:‏ وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ‏.‏

“Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku (Ubai) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Sabda Baginda: “Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu, apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku berkata: ‘اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ’. Lalu Baginda menepuk dadaku, dan bersabda: “Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abu al-Munzir.”

Riwayat Muslim 810, Abu Daud 1460 dan Ahmad 20588

  • Tidak Akan Terhalang untuk Memasuki Syurga

Daripada Abu Umamah al-Bahili رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir 7532; al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra 9848 dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah 124. Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

Imam al-San’ani menyebut: “Kelebihan ayat al-Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-’Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).” (Lihat Subul al-Salam, 1/297).

  • Perlindungan daripada Syaitan

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ». فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ سَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ. قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ} حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «مَا هِيَ؟» قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ – وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ – فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟» قَالَ: لاَ. قَالَ: «ذَاكَ شَيْطَانٌ».

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ.” Dia berkata: “Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya.” Abu Hurairah berkata: Aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Nabi ﷺ bertanya: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.”

Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi ﷺ bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ.” Dia berkata: “Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi.” Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.

Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali.” Dia berkata: ”Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah.” Aku menjawab: “Apakah kalimah itu?” Dia berkata: “Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah ﷻ) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya) Surah al-Baqarah Ayt 225, sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.” Maka aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: “Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya.” Baginda bertanya: “Apakah itu?” Aku berkata: “Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah ﷻ) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).”) Surah al-Baqarah Ayat 225. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.’” (Perawi berkata:) Mereka (yakni Para Sahabat) adalah orang-orang yang sangat bersungguh demi kebaikan. Nabi ﷺ bersabda: “Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Itulah syaitan.”

Riwayat al-Bukhari 2311

Semoga Allah ﷻ memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

“Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ

Makatabah Al-Bakri 6083


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *