Hukum menggunakan ayat Al-Qur’an dan beramal dengan ayat ke 9 Surah Yasin sebagai Pendinding serta kaitannya dengan hijrah Nabi ﷺ

Kategori:

Benarkan kisah Nabi Muhammad ﷺ ketika Baginda dikepung, lalu Baginda ﷺ membaca Ayat 9 Surah Yasin untuk mengkaburi mata pihak musuh. Adakah dibenarkan untuk beramal dengannya untuk tujuan pendinding atau mengkaburi mata pencuri?

Ringkasan Jawapan

Hukum beramal dengan Surah Yasin Ayat 9 sebagai pendinding adalah diharuskan, malah ia juga berlandaskan pedoman daripada kisah Baginda Nabi ﷺ ketika awal perjalanan keluar berhijrah. Begitu juga, amalan membaca ayat Al-Qur’an sebagai pelindung juga pernah diamalkan oleh para ulama seperti yang diamalkan oleh Imam al-Qurtubi ketika berperang.

Disamping itu, menggunakan ayat Al-Qur’an dalam perubatan dan sebagai pelindung serta menggunakan sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar dipermudahkan oleh Allah ﷻ secara umumnya merupakan perkara yang dibenarkan syarak.

Huraian Jawapan

Al-Qur’an merupakan mukjizat yang terkandung dalamnya 114 surah dan bagi setiap surah tersebut mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Surah Yasin disebut sebagai hati Al-Qur’an dan antara kelebihan surah ini adalah dengan membacanya walaupun sekali ganjaran yang diberi seumpama membaca Al-Qur’an sebanyak sepuluh kali. Hal ini sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas رضي الله عنه, sabda Nabi ﷺ:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, Allah ﷻ akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.”

Riwayat al-Tirmizi 2887

Kisah Baginda Nabi ﷺ ketika ingin keluar berhijrah ke kota Madinah dan pada waktu itu rumah Baginda ﷺ dikepung oleh golongan musyrikin Mekah. Bagi meneruskan perjalan, Baginda ﷺ keluar daripada rumahnya dengan membaca surah Yasin dari permulaan surah sehingga ayat ke 9 surah iaitu. Dalam masa yang sama, Baginda ﷺ mengambil segenggam tanah kemudian ditaburkan ke atas kepala golongan musyrikin Mekah yang ketika itu pandangan mereka telah terhijab oleh Allah ﷻ. Lalu Baginda ﷺ keluar meninggalkan rumahnya menuju ke destinasi yang dituju (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr Farh al-Ansari al-Qurtubi ed. Ahmad Barduni, Ibarahim Athfaish. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Tafsir al-Qurtubi Cairo, Dar al-Kutb al-Misriyyah 1384H 10:270).

Imam Qurtubi juga pernah beramal dengan membaca awal surah Yasin ketika menghadapi perang di negaranya. Pada waktu itu, beliau bertembung dengan tentera musuh lalu membacanya dan diberi perlindungan oleh Allah ﷻ. Kisah ini seperti yang diceritakan dalam kitabnya, ketika negaranya Andalus sedang diasak tentera musuh, beliau dalam keadaan berundur dan bertahan di dalam kubu. Selang beberapa waktu, dua orang tentera musuh melihat beliau lalu mengejarnya sehingga ke kawasan lapang yang tiada tempat untuk berlindung. Lalu Imam al-Qurtubi membaca awal surah Yasin dan juga ayat-ayat Al-Qur’an yang lain. Kemudian tentera tersebut hanya melaluinya tanpa menoleh dan memandangnya, akhirnya mereka berpatah balik sambil salah seorang daripada mereka berkata:

هذا ديبلة; يعنون شيطانا

Maksudnya: Itulah Daibalah (bahasa Perancis bermaksud jin): maksud dia adalah Syaitan (Ibid).

Hukum Menggunakan Ayat Al-Qur’an Sebagai Pelindung atau Jampi

Dari sudut hukum, para ulama mengharuskan penggunaan ayat Al-Qur’an sebagai jampi (ruqyah) atau doa meminta pertolongan kepada Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur’an Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;”

Surah al-Isra Ayat 82

Menjadikan ayat Al-Qur’an sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar Allah ﷻ menunaikan doanya bertepatan dengan saranan saranan hadis Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain رضي الله عنه, katanya aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

“Sesiapa yang membaca Al-Qur’an, maka hendaklah ia meminta kepada Allah ﷻ dengannya. Sesungguhnya sesuatu kaum akan datang, apabila mereka membaca Al-Qur’an kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.”

Riwayat al-Tirmizi 2917

Di samping itu, Baginda Nabi ﷺ mengajar umatnya agar beramal dengan membaca ayat Al-Qur’an sebelum tidur kemudian ditiup pada tapak tangan dan disapu ke seluruh badan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah رضي الله عنها:

كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ‏:‏ ‏(‏ قلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ‏)‏ وَ ‏:‏ ‏(‏ قلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‏)‏ وَ ‏:‏ ‏(‏ قلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‏)‏ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

“Sesungguhnya ketika Baginda ﷺ berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda ﷺ akan menadah tangan kemudian menghembus ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda ﷺ membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu bi Rabbinnas. Kemudian Baginda ﷺ akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda ﷺ melakukannya sebanyak tiga kali

Riwayat al-Tirmizi 3402

Imam Badruddinn al-Aini 855H menyebut bahawa perbuatan meniup tapak tangan kemudian dibaca surah lalu disapu kepada badan bertujuan mengambil keberkatan daripada Al-Qur’an (Badruddin al-Aini, Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, t.t Jld 20 hlm 35). Menurut Ibn Battal 499H perbuatan Baginda Nabi ﷺ menjampi dirinya sendiri sebagai pelindung ketika tidur (Ibn Battal, Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal. Riyad: Maktabah al-Rusyd, 1423 Jld 10 hlm 253).

Berkaitan hal ini, Imam al-Suyuti 911H menukilkan pandangan Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa diharuskan menulis ayat Al-Qur’an di dalam bekas kemudian diisikan air lalu dimandi atau disapu kepada pesakit untuk tujuan perubatan dan ini merupakan pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafi’i (Jalaluddin al-Suyuti, al-Syifa fi Ulum al-Quran. Misr: al-Haiah al-Misriyyah al-Ammah li al-Kitab Jld 4 hlm 172).

Imam al-Suyuti menukilkan persoalan daripada Imam al-Rabi’ ketika bertanya kepada Imam al-Syafi’e dalam masalah ini, katanya:

وَقَالَ الرَّبِيعُ: سَأَلْتُ الشَّافِعِيَّ عَنِ الرُّقْيَةِ فَقَالَ: لَا بأس أَنْ يُرْقَى بِكِتَابِ اللَّهِ وَمَا يُعْرَفُ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

“Imam al-Rabi’ berkata: Aku bertanya kepada al-Syafi’e tentang Ruqyah, lalu beliau menjawab: Tidak mengapa sekiranya ruqyah dengan menggunakan kitab Allah ﷻ dan setiap apa yang diketahui berkenaan zikir kepada Allah ﷻ (Jalaluddin al-Suyuti, ed. Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran (al-Hai’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li Kitab 1294H 4:165).

Kesimpulan

Hukum beramal dengan Surah Yasin Ayat 9 sebagai pendinding adalah diharuskan, malah ia juga berlandaskan pedoman daripada kisah Baginda Nabi ﷺ ketika awal perjalanan keluar berhijrah. Begitu juga, amalan membaca ayat Al-Qur’an sebagai pelindung juga pernah diamalkan oleh para ulama seperti yang diamalkan oleh Imam al-Qurtubi ketika berperang.

Disamping itu, menggunakan ayat Al-Qur’an dalam perubatan dan sebagai pelindung serta menggunakan sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar dipermudahkan oleh Allah ﷻ secara umumnya merupakan perkara yang dibenarkan syarak.

وَاللّٰهُ اَعْلَمُ بِالصَّواب

Irsyad Hukum 843


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *