Bolehkah membaca Al-Qur’an untuk mendapat habuan dunia semata-mata

Kategori:

Boleh ke kita membaca Al-Qur’an semata-mata mengharapkan habuan dunia. Sebagai contoh, membaca al-Waqiah sebab nak kaya.

Jawapan

Firman Allah ﷻ:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Surah al-Qamar Ayat 17

Kelebihan Membaca Surah al-Waqiah

Terdapat pelbagai hadis dan riwayat tertentu yang menceritakan tentang kelebihan dan fadhilat beramal dengan surah tertentu bagi mendapat manfaat di dunia serta akhirat.

Ini seperti pengamalan membaca surah al-Waqiah, Imam Syaukani menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Surah al-Waqiah mengandungi Sembilan puluh tujuh ayat atau sembilan puluh enam ayat dan diturunkan di Makkah (Lihat Fathu al-Qadir 5/176).

Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

“Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”

Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti 12546

Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas, Sabda Nabi ﷺ:

سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ

“Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.”

Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani 5/176

Selain itu, Dr. Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»

“Apakah engkau risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”

Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili 27/240

Tawassul dengan Al-Qur’an Sebagai Amalan Soleh

Berbalik kepada persoalan di atas, kami datangkan pembahasan berkenaan penggunaan Al-Qur’an sebagai perantaraan dan mendekatkan diri kepada Allah ﷻ bagi mencapai hajat yang diingininya. Selain itu, membaca Al-Qur’an termasuk di dalam amalan soleh, maka dibolehkan untuk bertawassul dengan amalan soleh untuk mencapai hajat yang diinginkan.

Justeru, kami datangkan maksud Tawassul dari segi bahasa bermaksud Taqarrub. Iaitu mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dengan amalan kebaikan yang dilakukan dan meninggalkan perbuatan buruk.

Selain itu, Tawassul juga memberi maksud mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dengan perantaraan. Ini seperti meminta doa kepada Allah ﷻ dengan nama atau sifat Allah ﷻ, atau menggunakan perantaraan dengan amalan soleh dan orang soleh yang masih hidup (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 14/149).

Allah ﷻ di dalam firman-Nya menyeru hambanya supaya bertawassul kepada-Nya dengan amalan soleh. Firman Allah ﷻ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya).”

Surah al-Maidah Ayat 35

Syeikh al-Maraghi dalam menerangkan ayat di atas menyatakan, “al-Wasilah bermaksud apa yang menyampaikan sesuatu bertujuan mendapat keredhaan dan mendekatkannya kepada Allah ﷻ… Selain itu, barangsiapa yang berdoa kepada Allah ﷻ dengan menjadikan Nabi ﷺ sebagai perantaraan supaya mendapat syafaat maka ia merupakan sebahagian daripada doa dan amalan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi 6/109)

Tawassul Dengan Al-Qur’an Sebagai Kalam Allah ﷻ

Bertawassul menggunakan Al-Qur’an sebagai kalam Allah ﷻ bertujuan perantaraan bagi mencapai sesuatu matlamat. Para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul menggunakan nama dan sifat Allah ﷻ bagi setiap urusan dunia dan akhirat (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 14/151).

Firman Allah ﷻ:

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya.”

Surah al-A’raf Ayat 180

Syeikh al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan penggunaan sifat dan nama Allah ﷻ sebagai perantaraan di dalam doa merupakan perkara yang menyeluruh bagi setiap permasalahan dan perkara yang dikehendakinya. Sebagai contoh doa menggunakan sifat Allah ﷻ, “murahkanlah rezeki ke atasku wahai yang Maha memberi rezeki” (Lihat Tafsir al-Sa’di 1/309).

Selain itu, hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain, aku mendengar daripada Baginda ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

“Barang siapa yang membaca Al-Qur’an, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Ini kerana sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca Al-Qur’an kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.”

Riwayat Tirmizi 2917

Syeikh al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis di atas menyatakan, iaitu meminta kepada Allah ﷻ dengan perantaraan Al-Qur’an setiap apa urusan Dunia dan Akhirat. Atau sekiranya membaca Al-Qur’an lalu pada ayat yang menceritakan berkenaan dengan Rahmat Allah ﷻ, maka pintalah kepada Allah ﷻ untuk mendapatkannya (Rahmatnya) (Lihat Tuhfah al-Ahwazi 8/189).

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan perbahasan yang didatangkan di atas, kami berpendapat, harus untuk beramal dan meminta sesuatu perkara dengan menggunakan perantaraan ayat suci Al-Qur’an untuk mendapat habuan dunia dan akhirat.

Justeru, diharuskan untuk membaca surah al-Waqiah supaya mendapat kelebihan dan kekayaan seperti yang dinyatakan hadis di atas. Bahkan para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul dengan amalan soleh serta menggunakan nama dan sifat Allah ﷻ dalam mendekatkan diri dan berdoa kepada-Nya.

Sebaiknya, kami menyarankan supaya membaca Al-Qur’an untuk mendapat syafaat daripadanya dan ikhlas dalam beramal serta mencari keredhaan Allah ﷻ di dunia dan juga di akhirat. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, Sabda Nabi ﷺ:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

“Bacalah Al-Qur’an kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.”

Riwayat Muslim 804

Semoga Allah ﷻ memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ.

Al Kafi li al-Fatawi 1517


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *