Waktu mustajab pada hari Jumaat

Kategori:

Bilakah waktu yang dimaksudkan dengan waktu yang mustajab pada hari Jumaat?

Jawapan

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadis yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

“Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah ﷻ, pasti Allah ﷻ akan memperkenankan permintaanya itu.”

Riwayat al-Bukhari 6400

Melihat kepada hadis di atas, kita memahami bahawa Allah ﷻ telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Pendapat ulama’ dalam memahami hadis tersebut.

Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadis ini di dalam sahih Muslim, antaranya (Lihat al-Minhaj Syarah Muslim 140/6):

  • Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.
  • Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.
  • Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.
  • Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat.

Di sana terdapat beberapa lagi pendapat yang lain sebagaimana yang dinyatakan Ibn al-Qayyim di dalam karyanya iaitu sebanyak 11 pendapat.

Pendapat Ulama’ Dalam Masalah Ini

Setelah melihat pendapat di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan sedikit perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dalam menentukan waktu yang mustajab ini:

Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadis Nabi ﷺ. 

Pendapat Pertama: Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat, berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.

  • Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi ﷺ bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ”.

“Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis daripada Rasulullah ﷺ berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan.”

Riwayat Muslim 853

Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadis yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.

Pendapat Kedua: Waktunya adalah selepas asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat Imam Ahmad:

  • Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

“Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah ﷻ akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah ﷻ akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar.” 

Riwayat Ahmad 7688) Hadis ini adalah sahih dengan syawahidnya dan sanad hadi ini adalah dhaif menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth

  • Daripada Jabir bin Abdillah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

“Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah ﷻ melainkan Allah ﷻ akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar.”

Riwayat al-Nasa’ie 1389 Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nataij al-Afkar 2/436

Terdapat beberapa lagi hadis yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas رضي الله عنه telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadis yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain (Lihat Zad al-Ma’ad 377/1).

Pendapat Yang Dipilih

Setelah melihat perbahasan dan dalil-dalil yang dikemukan maka kami cenderung untuk memilih pendapat yang kedua iaitu waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu juga, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair رضي الله عنه.

Penutup

Kesimpulannya, hari Jumaat adalah hari yang mulia dan ia juga mempunyai banyak keistimewaan, kemuliaan dan kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim samada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini. Akhirnya, semoga Allah ﷻ memberi kesempatan serta mengurniakan kita waktu-waktu yang istimewa seperti ini kepada kita. Aamiin.

وَاللّٰهُ اَعْلَمُ بِالصَّواب

Irsyad Al-Hadith 126


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *