Jiran yang suka mencela & mencaci

Kategori:

Apakah terdapat panduan daripada hadis berkaitan jiran yang suka mencela dan mengeji keluarga saya atau adakah saya perlu berpindah atau bersabar dengan perbuatan tersebut?

Jawapan

Agama Islam amat menitikberatkan perkara-perkara berkaitan dengan kejiranan. Hal ini banyak diingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ melalui hadis-hadisnya yang menyeru agar berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Antara firman Allah ﷻ yang menuntut agar berlaku kepada jiran adalah:

  • Firman Allah ﷻ:

وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah ﷻ dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah ﷻ tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”

Surah al-Nisa’ Ayat 36

Para ulama menyatakan di dalam ayat ini, Allah ﷻ mengikat ayat tuntutan untuk berlaku baik kepada jiran dengan ayat tuntutan agar menyembah Allah ﷻ tanpa melakukan syirik kepada-Nya. Ini menunjukkan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran merupakan satu tuntutan yang besar sepertimana tuntutan agar menyembah Allah ﷻ. Untuk itu, Allah ﷻ menyediakan azab yang pedih buat orang yang suka menyakiti jirannya sepertimana yang akan jelaskan di bawah nanti.

Di antara hadis-hadis yang menceritakan akan kepentingan berlaku baik kepada jiran adalah:

  • Daripada Abi Syuraih, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” 

Riwayat Muslim 77

  • Daripada Abdillah bin ‘Amr, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُ الأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ، وَخَيْرُ الجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

“Sebaik-baik teman di sisi Allah ﷻ adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah ﷻ adalah seorang yang paling baik dengan jirannya. 

Riwayat al-Tirmizi 1944. Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib

  • Daripada Ibn Umar, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

“Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” 

Riwayat Bukhari 6015

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadis ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah ﷻ telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam Al-Qur’an dan juga hadis Nabi ﷺ (Al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim 18/2).

Demikian itu adalah beberapa buah hadis yang membicarakan berkaitan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran kerana kedudukan jiran itu amat tinggi di dalam agama. Berdasarkan soalan di atas, kami ingin menukilkan sebuah kisah yang berlaku di zaman Rasulullah ﷺ apabila seorang lelaki datang kepadanya dan mengadu akan perihal jirannya yang suka menyakitinya:

  • Daripada Abu Hurairah berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَشْكُو جَارَهُ، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاصْبِرْ. فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِي الطَّرِيقِ. فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِي الطَّرِيقِ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ: فَعَلَ اللَّهُ بِهِ، وَفَعَلَ، وَفَعَلَ، فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ: ارْجِعْ لَا تَرَى مِنِّي شَيْئًا تَكْرَهُهُ

“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ mengadu perihal jirannya. Maka Nabi ﷺ bersabda: “Pergilah serta bersabarlah.” Setelah itu, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah ﷺ sebanyak dua atau tiga kali. Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Pergilah dan campakkanlah barang-barang di rumah kamu ke jalan.” Lelaki tersebut kemudiannya mencampakkan barang-barang rumahnya ke jalan hingga menyebabkan orang-orang bertanya kepadanya. Lalu lelaki tersebut menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya yang menyebabkan manusia (yang mendengar cerita tersebut) melaknat jiran tersebut dengan mengatakan: “Allah ﷻ akan membalas perbuatannya (mendoakan keburukan), Allah ﷻ akan balas dan Allah akan balas ﷻ.” Selepas itu, lelaki tersebut didatangi oleh jiran tersebut dan jiran itu berkata: “Pulanglah kamu, kamu tidak akan melihat (mendapati) sesuatu yang kamu benci itu lagi.” 

Riwayat Abu Daud 5153. Sanadnya adalah baik menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh

Hadith ini menceritakan akan petunjuk Nabi ﷺ kepada lelaki ini apabila sentiasa disakiti oleh jirannya. Akan tetapi, berkemungkinan perbuatan atau cara tersebut biasa dilakukan oleh bangsa Arab pada zaman itu tetapi ia tidak lagi sesuai untuk dilakukan pada zaman ini. Tambahan pula, Imam Ibn Ruslan ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa di dalam hadis ini menunjukkan kelebihan bersabar dengan perihal jiran walaupun perkara tersebut berulang-ulang kali berlaku, di samping berusaha untuk mencegahnya mengikut kemampuan yang ada. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan keharusan berdoa kepada orang yang menyakiti orang lain secara kuat (terang-terangan) sebagai pengajaran kepada orang tersebut serta meninggalkan perbuatan tersebut (Syarah Abi Daud 440/19).

Kami berpandangan dalam isu ini, seseorang yang disakiti oleh jirannya sama ada dengan perbuatan atau ucapan perlulah bersabar terlebih dahulu. Ini berdasarkan kepada petunjuk atau hadyu nabawi di dalam hadis di atas. Sabar merupakan sifat yang sangat hebat dan ia merupakan sifat yang dikasihi oleh Allah ﷻ. Di samping itu juga, seseorang yang disakiti itu perlulah berusaha dan berikhtiar dengan sehabis-baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti menasihatinya dengan penuh hikmah, berbuat ihsan (baik) kepadanya walaupun dibalas dengan kejahatan, membantu mereka di dalam kesusahan, menggunakan saluran yang tepat dalam menegur dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan dengan cara sebegini akan melembut hatinya dan tidak lagi akan menyakiti orang tersebut. Selain itu, doa juga merupakan salah satu elemen yang penting dan tidak patut diabaikan kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu membaca dan mengubah hati seseorang itu. Sekiranya, seseorang itu telah berusaha dan berikhtiar, berpindah dari tempat tersebut merupakan langkah yang terakhir bagi seseorang yang mampu melakukan sedemikian.

Hukuman Bagi Orang Yang Menyakiti Jirannya

Di sana terdapat hadis yang menceritakan akan akibat dan balasan yang akan diterima bagi orang yang suka menyakiti jirannya:

  • Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

“Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” 

Riwayat Muslim 73

  • Di dalam hadis yang lain pula, juga daripada Abu Hurairah berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ

“Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah ﷺ: “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” 

Riwayat Ahmad 9675. Sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu’aib al-Arna’outh

Berdasarkan kedua hadis ini, orang yang suka menyakiti jirannya sama ada dengan perbuatannya atau lisannya (ucapannya) maka orang seperti ini akan dicampakkan ke dalam api neraka di akhirat kelak walaupun dia merupakan seorang yang banyak melakukan ibadah.

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk berlaku baik kepada jiran kerana tuntutan tersebut datang daripada Al-Qur’an dan juga hadis Nabi ﷺ. Selain itu juga, Allah ﷻ menyediakan hukuman yang berat kepada orang-orang suka menyakiti jirannya. Tambahan pula, Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersabar dalam setiap perkara yang menimpa serta berusaha untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah ﷻ menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik kepada jiran serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti. Aamiin.

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ

Irsyad al-Hadith 340


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *