بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
Rabbanā afrig ‘alainā ṣabraw wa ṡabbit aqdāmanā wanṣurnā ‘alal-qaumil-kāfirīn(a).
“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”
Surah Al-Baqarah Ayat 250
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”
وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ
“Dan apabila mereka keluar menentang Jalut dan tenteranya,”
Ini adalah semasa tentera Talut itu sudah mengadap tentera Jalut dan hampir hendak berlawan di medan pertempuran. Mereka sudah nampak tentera Jalut di hadapan mereka.
قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا
“mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami,”
Ini adalah doa mereka apabila berhadapan dengan musuh. Tugas kita adalah minta kepada Allah ﷻ. Kalau takut, maka serahkan diri kita kepada Allah ﷻ. Apa-apa sahaja kita bergantung kepada Allah ﷻ.
Mereka minta supaya dilimpahkan sabar kepada mereka. Doa minta sabar ini hanya boleh dibaca depan musuh sahaja. Tidak boleh dibaca semasa kita senang lenang. Nabi ﷺ tidak membenarkan kerana pernah Nabi Muhammad ﷺ mendengar seorang sahabat berdoa minta sabar. Nabi ﷺ menegur perbuatan sahabat itu.
من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ
“Nabi ﷺ mendengar seorang lelaki berdoa: Ya Allah aku memohon kepada-Mu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah.”
Riwayat Tirmidzi 3527
Ini kerana kalau minta sabar semasa senang, itu meminta bala sebenarnya kerana sabar tidak akan jelas dan zahir tanpa bala. Maka kalau minta sabar, Allah ﷻ akan beri bala supaya orang itu diberi ujian sabar. Oleh itu, hanya apabila kita perlu berada dalam keadaan sabar, barulah minta.
وَثَبِّت أَقدامَنا
“dan teguhkanlah tapak pendirian kami”
Hati kena teguh dengan sabar, dan kaki kena teguh juga supaya tidak lari. Kaki kita akan ikut hati sebenarnya. Kalau hati berani, kaki pun akan berani. Kalau hati sudah takut, kaki pun akan takut juga. Sebab itu bila kita takut, kaki kita lembik sahaja, bukan?
وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
“serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
Mereka meminta kemenangan diberikan kepada mereka kerana mereka menentang orang kafir. Indah sekali doa mereka ini dan Allah ﷻ memasukkan doa mereka ke dalam Al-Qur’an yang akan kekal sepanjang zaman sampai kiamat.
Namun harus diingatkan, jangan amalkan doa ini kalau keadaan tidak memerlukan.
Lihat Celik Tafsir di sini.