Doa Rasulullah ﷺ dikurniakan kekuasaan yang menolong

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

رَّبِّ اَدْخِلْنِيْ مُدْخَلَ صِدْقٍ وَّاَخْرِجْنِيْ مُخْرَجَ صِدْقٍ وَّاجْعَلْ لِّيْ مِنْ لَّدُنْكَ سُلْطٰنًا نَّصِيْرً

“Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.”

Surah al-Isra’ Ayat 80

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

رَّبِّ أَدخِلنِى مُدخَلَ صِدقٍ

“Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar

Doanya lebih kurang begini: “Wahai Tuhanku, masukkanlah aku dalam segala situasi dan kondisi dan tempat yang Engkau izinkan aku memasukinya di dunia dan di akhirat dengan cara masuk yang benar, terhormat, sempurna lagi Engkau redhai.”

Waktu ayat ini diturunkan, baginda sedang dilawan oleh para penentang baginda. Tentulah hati baginda amat sesak dengan gundah gulana kerana mereka itu adalah kaum baginda, yang baginda telah kenal semenjak kecil lagi. Maka Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk berdoa.

Doa ini amat tepat sekali kerana waktu itu, masalah yang sedang dihadapi oleh baginda adalah untuk meninggalkan Mekah. Maka baginda diajar untuk meminta kemasukan yang baik. Yang dimaksudkan adalah kemasukan ke Madinah. Mintalah kepada Allah ﷻ, kalaulah baginda dikeluarkan dari Mekah itu, berikan baginda dapat masuk ke tempat yang baik dengan cara kemasukan yang baik. Kalimah صِدقٍ di sini bermaksud benar mengikut ketentuan Allah ﷻ. Baginda menyerahkan hal itu kepada-Nya.

وَأَخرِجنِى مُخرَجَ صِدقٍ

“dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar”

Baginda berdoa supaya kalau baginda dikeluarkan pun, keluarkanlah baginda dengan cara yang baik. Baginda minta supaya kalau baginda dikeluarkan, dikeluarkan dengan mulia dan dengan cara baik. Maknanya lebih kurang begini: “Keluarkanlah aku dari mana sahaja dengan cara keluar yang benar menuju kemuliaan dan redha-Mu.”

Antara harapan baginda, biarlah hati baginda tidak berpaling lagi kepada Mekah tanah tumpah yang amat disayanginya itu apabila telah ditinggalkan. Supaya pemergian baginda itu selamat. Allah ﷻ makbulkan dengan memberi keselamatan kepada baginda walaupun Musyrikin Mekah mengejar dan mencari baginda.

Maka ulama’ mengatakan doa ini baik sekali dibaca ketika kita ada sesuatu penting yang kita hendak lakukan.

Lihat susunan ayat ini – disebut ‘masuk’ dahulu, kemudian baru disebut ‘keluar’. Sedangkan, kalau masalah tentang pengeluaran dari Mekah, bukankah yang patut diminta dahulu pengeluaran yang baik? Kerana itu yang terjadi dahulu, bukan? Namun Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ jangan risau bahagian ‘keluar’ itu. Minta yang lebih utama dahulu iaitu kemasukan yang baik. Allah ﷻ susun berdasarkan keutamaan, bukan berdasarkan susunan kejadian.

Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam tafsir ayat ini mengatakan bahawa sesungguhnya orang-orang kafir Mekah ketika mereka sepakat di antara mereka untuk membunuh Nabi ﷺ atau mengusirnya atau mengikatnya, dan Allah ﷻ berkehendak untuk memerangi ahli Mekah, maka Dia memerintahkan kepada Rasul-Nya untuk berhijrah ke Madinah, yang antara lain Allah ﷻ berfirman: Dan katakanlah, “Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar.” (Surah al-Isra’ Ayat 80) hingga akhir ayat.

Tafsiran lain: Al-Muhayami رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan hubungan di antara ayat 80 ini dengan ayat ter- dahulu daripadanya, iaitu soal ibadat, soal sembahyang lima waktu dan tahajjud. Rasulullah ﷺ disuruh mengiringi lagi dengan doa berserah diri kepada Tuhan, masukkanlah aku ke dalam ibadat yang aku kerjakan ini dengan baik. Ertinya dengan beramal yang ikhlas dan ikhlas pula memohonkan pahalanya daripada Allah ﷻ, terlepas daripada penyakit riya’ dan ujub, iaitu merasa bangga dan kagum dengan amalan yang telah dikerjakan. Dan keluarkan pulalah akan daku daripada ibadat ini dengan keluaran yang baik, iaitu jangan sampai batal amalan kerana kealpaan dan kelalaian, kerana perdayaan syaitan atau hawa nafsu atau semua perangai yang tercela.

وَٱجعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلطَـٰنًا نَّصِيرًا

“dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.”

Doanya lebih kurang begini maksudnya: “anugerahkanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan, kekuatan dan bukti yang membungkam dan yang menolong yakni membela aku menghadapi semua lawan.” Kalimah سُلطان dapat mencakup berbagai makna, seperti kekuasaan, kerajaan, bukti yang jelas. Masing-masing makna ini dapat dicakup bahkan ketiganya dapat difahami sebagai kandungan permohonan Nabi ﷺ.

Oleh itu ‘سُلطان’ dari sisi Allah ﷻ boleh diterjemahkan sebagai ‘kuasa’. Baginda disuruh minta kuasa yang dapat membantu baginda menjalankan tugas baginda sebagai seorang Rasul dan seorang pendakwah untuk menyebarkan agama-Nya. Bukan kuasa untuk memerintah sahaja (walaupun itu pun baginda akan dapat juga). Namun yang lebih penting adalah kekuasaan untuk menjalankan tugas baginda.

Di Madinah, baginda akan mendapat kekuasaan itu. Waktu itu baginda senang untuk berdakwah kepada manusia (terutama nanti apabila Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani). Ini kita akan belajar dalam Surah al-Fath nanti.

Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat in sesungguhnya Nabi ﷺ menyedari bahawa baginda tidak mempunyai kekuatan untuk menanggung tugas dakwah ini kecuali dengan kekuasaan. Maka baginda memohon kekuasaan yang menolong kepada Allah ﷻ untuk membela Kitabullah, batasan-batasan Allah ﷻ, hal-hal yang difardukan Allah ﷻ, dan untuk menegakkan agama Allah ﷻ; kerana sesungguhnya kekuasaan itu adalah rahmat daripada Allah ﷻ yang Dia jadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya.

Seandainya tidak ada kekuasaan ini, tentulah sebahagian mereka menyerang sebahagian yang lainnya, dan yang terkuat di antara mereka akan memakan yang lemah.

Tafsiran lain: Kekuasaan yang menolong. Amat luaslah maksud سُلطانًا itu. Ia boleh diertikan kekuatan yang mutlak, hilangnya kelemahan, terutama kelemahan semangat. Nabi ﷺ sebagai seorang pemimpin besar ummat, utusan Ilahi mesti mempunyai kekuasaan, mempunyai kredibiliti atau wibawa.

Malah lebih jelas daripada itu lagi, sultan pun سُلطانًا kekuasaan umum. Segala yang dititahkan oleh Ilahi dan disampaikan oleh Rasul kepada ummat, barulah ditaati, kalau ummat yang banyak itu mengakui, mahu atau tidak mahu, “de jure dan de facto” kekuasaan Nabi ﷺ itu. Sultan yang demikian itulah yang disuruh Allah ﷻ kepada Rasul-Nya memohonkannya langsung kepada Allah ﷻ, tegasnya turun dari langit. Berikan kepadaku, ya Tuhanku kekuasaan itu, kekuasaan yang langsung datang daripada Engkau. Kerana perintah-perintah Engkau itu tidak dapat berjalan lancar kuatkuasanya dalam masyarakat manusia kalau kekuasaan tidak ada padaku.

Ia juga boleh bermaksud hujah atau bukti yang jelas. Yang apabila diberikan, akan membungkam orang yang menentang. Maka kita juga boleh baca doa ini apabila berhadapan dengan manusia terutama yang menentang. Hujah dan bukti itu tentunya yang terbaik adalah dari Al-Qur’an, kemudian hadith, kemudian hujah-hujah akal yang membolehkan orang di hadapan kita itu faham. Kerana kadang kalau kita baca ayat-ayat wahyu, mereka tidak biasa dengar. Namun bila kita bagi analogi, barulah mereka faham. Analogi itu Allah ﷻ juga yang beri kepada kita, bukan?

Lihat tafsir di sini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *