بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
فَوَقَعَ الحَقُّ وَبَطَلَ ما كانوا يَعمَلونَ
Fa waqa‘al-ḥaqqu wa baṭala mā kānū ya‘malūn(a).
“Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.”
Surah al-A’raf Ayat 118
Tafsir
فَوَقَعَ الحَقُّ
“Maka sabitlah kebenaran”
Maka kebenaran telah terserlah. Lafaz وَقَعَ bermaksud ‘jatuh’, iaitu kebenaran telah jatuh ke atas semua ahli sihir itu. Kebenaran telah jelas nyata pada waktu itu kepada semua orang yang melihat. Semua ahli sihir itu sedar yang mereka sedang berhadapan dengan mukjizat, bukannya sihir. Mereka sedar yang mukjizat bukanlah boleh dipelajari. Berbeza dengan sihir yang memang boleh belajar sampai menjadi.
Mereka ini golongan ahli sihir yang pandai-pandai dan bertahap عليم maka mereka dapat membezakan antara mukjizat dan sihir, antara haq dan bathil. Apabila kebenaran telah jelas, mereka nampak dengan mudah kerana mereka memang orang yang ada ilmu. Orang awam pun tentu telah terkesan akan tetapi yang lebih terkesan adalah para ahli sihir itu.
وَبَطَلَ ما كانوا يَعمَلونَ
“dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.”
Apa yang mereka telah lakukan itu telah terbatal – telah kalah. Ini menunjukkan yang sihir itu boleh dikalahkan dengan kebenaran iaitu apabila kita berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Sihir memang ada diamalkan oleh orang-orang jahat, tetapi mereka tidak dapat memberi kesan kepada orang yang berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah.
Hukuman melakukan sihir di dalam agama Islam adalah bunuh. Malangnya negara kita tidak ada hukuman bagi orang yang mengerjakan sihir. Padahal sihir itu boleh memudaratkan. Di negara Arab, mereka ada hukuman ini tetapi belum lagi diiktiraf perbuatan sihir di negara kita walaupun telah ada cubaan. Kes Mona Fandey dulu pun ditangkap di atas kesalahan mengerat orang, bukannya sebab dia melakukan sihir.
Di sini kita boleh lihat Nabi Musa عليه السلام sebagai pendakwah tahap Nabi, baginda menggunakan mukjizat yang Allah ﷻ berikan untuk berdakwah. Maka bagi kita apa mukjizat kita ada? Tongkat tidak ada, kalau tangan pula warna itu sahajalah walau berkali-kali masuk baju, bukan? Jangan takut, kita ada mukjizat yang paling hebat sekali, iaitu Al-Qur’an!
Maka kita kena gunakan ayat-ayat Al-Qur’an dalam dakwah kita. Kena sampaikan kepada manusia. Kena ajak dan ajar mereka untuk mereka faham. Bukannya dengan sajak, gendang, mimpi tok syeikh, qasidah, marhaban, nasyid dan sebagainya, tetapi Al-Qur’an tuan-tuan.
Jika berdebat dengan golongan jahil pun, kita gunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an.
فَغُلِبوا هُنالِكَ وَانقَلَبوا صٰغِرينَ
Fa gulibū hunālika wanqalabū ṣāgirīn(a).
“Oleh itu, kalahlah Firaun dan ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.”
Surah al-A’raf Ayat 119
Tafsir
Oleh itu, kalahlah Firaun dan ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
فَغُلِبوا هُنالِكَ
“Oleh itu, kalahlah mereka (Firaun dan ketua-ketua kaumnya) di situ”
Telah jelas yang ahli-ahli sihir itu telah kalah di medan pertandingan itu. Firaun dan para pembesarnya telah kalah. Dikatakan bahawa yang kalah dalam ayat ini bukan maksudnya ahli sihir, tetapi Firaun dan para pembesarnya. Kerana apa yang terjadi ini adalah rancangan mereka untuk mengalahkan Nabi Musa عليه السلام. Maka telah jelas sekarang yang rancangan mereka tidak berhasil. Golongan ahli sihir itu pun kalah juga.
وَانقَلَبوا صٰغِرينَ
“dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.”
Maka mereka itu menjadi golongan yang lemah dan hina. Yang hina itu adalah Firaun dan para pembesar. Mereka dulu sangka dengan kekuasaan yang mereka ada, dan kekayaan mereka itu, menjadikan mereka besar dan boleh berbuat apa-apa sahaja. Namun sekarang mereka telah dikalahkan dan menjadi kecil dan hina sekali.
Atau, ia juga boleh merujuk kepada ahli-ahli sihir yang sebelum berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام, mereka sangka senang sahaja mereka kalahkah baginda. Akan tetapi sekarang mereka menjadi hina. Namun untuk sementara sahaja kerana nanti selepas ini akan diberitahu bagaimana ahli sihir itu akan dimuliakan.
وَأُلقِيَ السَّحَرَةُ سٰجِدينَ
Wa ulqiyas-saḥaratu sājidīn(a).
“Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,”
Surah al-A’raf Ayat 120
Tafsir
Apa yang terjadi kepada ahli sihir itu semua?
Sekiranya Firaun dan pengikutnya kalah, bagaimana pula dengan ahli sihir? Mereka telah beriman dan mereka terus tunduk sujud. Ini adalah reaksi spontan daripada mereka kerana mereka telah nampak kebenaran di depan mata mereka. Mereka mengalah kerana mereka itu berilmu.
Mereka secara automatik terus jatuh sujud – bukan Nabi Musa عليه السلام suruh mereka sujud pun. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah أُلقِيَ iaitu dalam bentuk pasif. Maksudnya bukan mereka buat sendiri. Yang mencampakkan mereka itu adalah kekuatan hujah dalam bentuk mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام. Mereka jadi begitu kerana mereka sedar yang apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام itu bukan sihir. Mereka amat kenal itu adalah bukan sihir kerana mereka ahli sangat dalam sihir dan mereka tahu yang Nabi Musa عليه السلام tunjukkan itu bukanlah sihir.
Mereka itu adalah orang berilmu. Begitulah, orang berilmu akan kenal mana yang benar dan mana yang tidak. Maka mereka tahu yang kalau itu bukan sihir, maka itu adalah mukjizat. Mereka tahu hanya seorang Nabi sahaja yang boleh melakukan mukjizat.
قالوا ءآمَنّا بِرَبِّ العٰلَمينَ
Qālū āmannā birabbil-‘ālamīn(a).
“Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.”
Surah al-A’raf Ayat 121
Tafsir
Maka mereka telah beriman.
Mereka telah sujud sebagai pernyataan tunduk dengan tubuh dan dengan lidah, mereka berkata sambil sujud itu dengan menyatakan yang mereka benar-benar beriman dengan Allah ﷻ. Maknanya, mereka bukan sujud sahaja, tetapi mereka melafazkan keimanan mereka dengan kata-kata juga. Maknanya, semua orang sudah nampak yang mereka beriman dengan Nabi Musa عليه السلام.
Ahli-ahli sihir itu berkata mereka beriman dengan رَبِّ العٰلَمينَ iaitu Allah ﷻ. Bukannya kepada Firaun. Ini adalah kerana ditakuti nanti Firaun pusing kata beriman dengan dia pula kerana dia pun mengaku tuhan juga.
Mereka kata mereka beriman بِرَبِّ, bukannya بالله kerana hendak menekankan sifat رَبِّ Allah ﷻ yang mencipta, mengurus dan mentadbir seluruh alam ini. Apakah العٰلَمينَ? Selain daripada Allah ﷻ adalah العٰلَمينَ.
رَبِّ موسىٰ وَهٰرونَ
Rabbi mūsā wa hārūn(a).
“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.
Surah al-A’raf Ayat 122
Tafsir
Mereka jelaskan lagi yang Tuhan yang mereka maksudkan adalah Allah ﷻ, iaitu Tuhan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Mereka berkata begitu kerana takut kalau tidak cakap begitu, nanti Firaun kata dia yang mereka maksudkan sebagai tuhan pula.
Ini penting kerana memang Firaun mengaku sebagai tuhan kepada rakyat. Oleh sebab itulah mereka berkata tuhan kepada Nabi Musa dan Harun عليهما السلام. Sememangnya Firaun pandai pusing cerita. Kalau tidak cakap nanti dia kata tukang sihir itu sujud kepada dia pula.
Juga menolak ketuhanan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام kerana takut rakyat sangka Nabi Musa عليه السلام pula Tuhan. Kerana Nabi Musa عليه السلام telah menunjukkan mukjizat yang hebat, bukan? Mereka tegaskan yang hebat adalah Allah ﷻ, bukannya Nabi Musa dan Harun عليهما السلام.
Lihat Celik Tafsir di sini.
إِنَّما صَنَعوا كَيدُ ساحِرٍ ۖ وَلا يُفلِحُ السّاحِرُ حَيثُ أَتىٰ
Rabbi mūsā wa hārūn(a).
“Sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja dia berada.”
Surah Taha Ayat 69
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu;”
Allah ﷻ yang mengarahkan Nabi Musa عليهما السلام mencampakkan tongkat itu. Allah ﷻ sebut yang di ‘tangan kanan’ baginda. Seperti dalam ayat-ayat sebelum ini, yang di tangan kanan Nabi Musa عليهما السلام adalah tongkat itu. Apa yang terjadi semasa pertama kali (pertama kali bercakap dengan Allah ﷻ) itu adalah latihan untuk Nabi Musa عليهما السلام menerima arahan dari Allah ﷻ.
Kita lihat dalam ayat ini, Allah lah yang suruh Nabi Musa عليهما السلام campakkan tongkat itu, baru Nabi Musa عليهما السلام campak. Oleh itu, kalau bukan Allah ﷻ yang suruh, tongkat itu tidak akan menjadi ular. Kalau Nabi Musa عليهما السلام campak suka-suka sahaja, tidak boleh ianya bertukar menjadi ular. Ini adalah mukjizat dan mukjizat hanya terjadi apabila Allah ﷻ kehendaki.
Maka, kalau ada guru-guru yang sesat yang boleh buat perkara-perkara ajaib, dan mereka buat itu dengan kehendak mereka, maka ianya adalah sihir, bukan keramah atau maunah. Kerana keramah dan maunah juga adalah dari kehendak Allah ﷻ juga, bukan dengan kehendak pembuat. Kita selalu dengar ada guru yang boleh pergi ke tempat-tempat lain dengan sekelip mata, ada ilmu kebal, boleh dengar percakapan orang lain, boleh rasa perasaan orang lain dan sebagainya.
Ketahuilah yang itu semua adalah sihir. Maka, kita hendaklah berhati-hati dengan apa yang mereka tunjukkan itu. Masyarakat kita memang mudah terpesona dengan perkara-perkara sebegitu dan menyebabkan mereka terus ikut kepada guru-guru sebegitu. Kerana itulah Ayah Pin itu boleh ada pengikut kerana ada perkara-perkara magis yang dia boleh buat dan orang jahil terpukau dan senang tertipu.
تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا
“nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan;”
Allah ﷻ suruh campak tongkat dan beritahu yang ular itu akan menelan semua ular jelmaan dari ahli sihir. Kalimah تَلْقَفْ bermaksud menelan sesuatu dengan cepat. Tak kunyah pun. Maknanya makan dengan cepat. Juga memberi isyarat yang senang sahaja ia akan makan.
إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ
“kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya sihir;”
Kalimah كَيْدُ merujuk kepada rancangan terperinci yang ada niat jahat di dalamnya. Kalau perancangan yang tidak ada niat jahat, tidak digunakan perkataan كَيْدُ. Ini menunjukkan telah banyak usaha yang perlu dijalankan dalam perancangan itu. Maksudnya sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir itu adalah sihir peringkat yang tinggi. Bukan main-main punya sihir.
وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ
“ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan;”
Mereka tidak akan berjaya kerana apa yang mereka amalkan itu adalah amalan dosa besar. Kerana itu mereka tidak akan mendapat kebaikan dan mereka tidak akan mendapat kejayaan.
حَيْثُ أَتَىٰ
“walau dari mana sahaja mereka datang.”
Ayat ini mengajar kita yang memang sihir adalah satu realiti. Kita katakan begini kerana mungkin dalam zaman moden ini, ada manusia yang kononnya sudah berfikiran moden sangat sampai tidak mahu menerima adanya sihir. Mereka cuba menjelaskan sihir itu dalam bentuk saintifik pula.
Ketahuilah bahawa sihir memang wujud dan memang diamalkan dahulu sampailah sekarang. Sebab itu ianya disebut dalam Qur’an. Dan Qur’an itu kekal sampai bila-bila.
Sihir adalah satu amalan syirik. Untuk sihir itu menjadi, pengamalnya perlu menggunakan jin syaitan. Dan untuk berkawan dengan jin syaitan itu, seseorang itu perlu melakukan perkara-perkara syirik, barulah mereka mahu berkawan. Ini disebut dalam ayat Qur’an yang lain. Apabila mengamalkan amalan syirik, mereka akan kekal dalam neraka sampai bila-bila.
Tidak akan jadi baik hasil daripada amalan sihir itu. Sebab itu, amatlah merbahaya apabila dalam media sekarang, banyak filem-filem yang menaikkan kedudukan sihir, contohnya kisah Harry Porter. Anak-anak kita rasa seperti amalan sihir itu baik dan dibolehkan. Mereka sangkakan bahawa sihir itu ada dua jenis: sihir putih dan sihir hitam. Padahal, segala bentuk sihir adalah salah dan syirik. Hukum mengamalkan sihir adalah dibunuh dalam Islam.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu Nabi Musa عليهما السلام yang ahli sihir itu tidak akan berjaya menentangnya.
Ayat وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ ini boleh dibaca untuk memutuskan perbuatan sihir. Apabila kita berhadapan dengan perbuatan sihir dari orang lain, maka kita boleh bacakan ayat ini. Dengan harapan Allah ﷻ akan memotong sihir itu dengan doa kita. Tapi kena ingat yang bukan ayat itu yang memotong sihir itu tapi Allah ﷻ. Cuma dengan kita baca ayat itu, mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah ﷻ dan kelemahan sihir. Maka dengan iman kita itu, doa kita untuk mematahkan sihir itu akan dimakbulkan.
Lihat Celik Tafsir di sini.
Surah al-A’raf Ayat 118 – 122 & Surah Taha Ayat 69