Apakah dibenarkan untuk menyapu muka selepas berdoa?

Jawapan
Doa merupakan satu ibadah yang dituntut ke atas setiap insan sama ada dalam keadaan senang atau susah. Ini kerana, doa akan menghubungkan secara terus di antara insan itu dengan Tuhannya. Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat sebuah hadith yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ tidak akan meletakkan tangannya selepas berdoa melainkan setelah Baginda ﷺ menyapu mukanya:
Daripada Umar bin al-Khattab berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ
“Adapun Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya ketika berdoa dan Baginda tidak akan meletakkan kedua tangannya sehingga Baginda menyapu keduanya ke muka Baginda ﷺ.”
Riwayat al-Tirmizi 3386. Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hadith yang gharib.
Imam al-San’ani menyatakan bahawa hadith ini mempunyai beberapa syawahid (sokongan). Antaranya di sisi Abu Daud daripada riwayat Ibn Abbas dan selain daripada beliau. Dengan itu, kesemua jalur atau riwayat yang ada itu mengangkat hadith tersebut ke tahap hasan (Lihat Subul al-Salam 709/2).
Syeikh al-Mubarakfuri berkata, hadith ini menjadi dalil atau petunjuk akan tuntutan menyapu muka dengan dua tangan selepas selesai berdoa. Dikatakan bahawa di antara munasabah bahawa Allah ﷻ tidak tidak akan memulangkan orang yang berdoa dengan kosong, menunjukkan bahawa seakan-akan rahmat Allah ﷻ itu jatuh di atas kedua tangan tersebut. Maka, ia (kedua tangan) diletakkan di muka kerana muka adalah anggota badan yang paling mulia dan paling berhak untuk dimuliakan (Lihat Tuhfah al-Ahwazi 232/9).
Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa menyapu muka selepas selesai daripada berdoa termasuk di dalam adab-adab berdoa. Hal ini ada disebutkan di dalam kitab al-Majmu’:
وَمِنْ آدَابِ الدُّعَاءِ كَوْنُهُ فِي الْأَوْقَاتِ وَالْأَمَاكِنِ وَالْأَحْوَالِ الشَّرِيفَةِ وَاسْتِقْبَالُ الْقِبْلَةِ وَرَفْعُ يَدَيْهِ وَمَسْحُ وَجْهِهِ بَعْدَ فَرَاغِهِ
“Antara adab berdoa adalah memilih waktu-waktu, tempat-tempat dan keadaan-keadaan yang mulia, mengadap ke arah kiblat, mengangkat tangan, menyapu muka selepas selesai daripadanya.” (Lihat al-Majmu’ 655-656/4)
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, isu menyapu muka selepas daripada berdoa merupakan masalah yang diperselisihi oleh para ulama’. Ada yang menyatakan bahawa hadith yang menunjukkan perbuatan Nabi ﷺ menyapu muka selepas daripada berdoa adalah hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah. Sebahagian lagi menyatakan ia boleh dijadikan hujjah sebagaimana yang kami nukilkan daripada Imam al-San’ani bahawa hadith tersebut menjadi hasan dengan syawahid (sokongan daripada riwayat yang lain). Justeru itu, kami cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa tidak menjadi masalah untuk menyapu muka selepas daripada berdoa kerana ia termasuk di dalam adab-adab berdoa sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Penutup
Kesimpulannya, menyapu muka selepas daripada berdoa termasuk di dalam adab-adab berdoa tetapi jika seseorang itu tidak menyapu mukanya selepas berdoa tidaklah menjadi kesalahan kerana perbuatan tersebut bukanlah bersifat wajib. Akhirnya, semoga Allah ﷻ memberi kita kefahaman di dalam agama ini. Aamiin.
حَدَّثَنَا بَكْرُ بْنُ سَهْلٍ الدِّمْيَاطِيُّ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللهِ بْنُ صَالِحٍ ، حَدَّثَنِي كَثِيرُ بْنُ سُلَيْمٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا صَلَّى وَفَرَغَ مِنْ صَلاتِهِ مَسَحَ بِيَمِينِهِ عَلَى رَأْسِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ
Daripada Anas, diriwayatkan bahawa apabila Baginda ﷺ selesai mendirikan solat, baginda akan menyapu kepalanya dengan tangan kanannya lalu membaca: Dengan nama Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selainnya, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripada ku perasaan susah hati dan kesedihan. (At-Thabrani dalam Ad-Dua’, dan Al-Awsath)
Pada sanad hadis ini terdapat perawi bernama Katsir bin Salim (كَثِيرُ بْنُ سُلَيْمٍ). Beliau seorang yang sangat lemah.
Imam Al-Bukhari: Beliau Munkarul Hadis.
Yahya bin Ma’in: Dhaif.
Abu Zur’ah: Wahiy al-Hadis.
Abu Hatim: Dhaif al-Hadis, Munkar al-Hadis.
An-Nasaie: Matruk al-Hadis.
Kesimpulan: Hadis ini sangat lemah.
659- حَدَّثَنَا أَبُو مُسْلِمٍ الْكَشِّيُّ ، حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ عُمَرَ الْحَوْضِيُّ ، حَدَّثَنَا سَلامٌ الطَّوِيلُ عَنْ زَيْدٍ الْعَمِّيِّ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَضَى صَلاتَهُ يَعْنِي وَسَلَّمَ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ثُمَّ يَقُولُ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ
Diriwayatkan apabila Nabi ﷺ selesai mendirikan solat baginda menyapu dahinya dengan tangan kanannya kemudian membaca: Dengan nama Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selainnya, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripada ku perasaan susah hati dan kesedihan. (Ad-Dua’ li at-Thabrani, ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah Ibn Sunni)
Imam Ahmad: Soleh
Yahya bin Ma’in: La Syai’i
Abu Hatim: Dhaif al-Hadis, ditulis hadisnya akan tetapi tidak berhujah dengannya.
Abu Zur’ah: Dia tidak kuat, Wahiy al-Hadis.
An-Nasaie: Dhaif.
Ibnu Hibban: Tidak boleh berhujah dengan riwayatnya.
Pada sanad hadis ini juga terdapat perawi bernama Salam at-Thowil (سَلامٌ الطَّوِيلُ). Beliau seorang yang sangat lemah bahkan ia adalah masalah utama kerana dia lebih teruk kelemahannya berbanding Zaid al-‘Amiy.
Yahya bin Ma’in: Hadisnya tiada apa-apa. Dhaif, tidak ditulis hadisnya.
Abu Hatim: Dhaif, ulama hadis meninggalkannya.
Abu Zur’ah: Dhaif al-Hadis.
Imam Ahmad: Munkar al-Hadis.
Al-Bukhari: Ulama meninggalkan hadis Salam at-Thawil daripada Zaid al-‘Amiy.
An-Nasaie: Matruk al-Hadis.
Kesimpulan: Hadis ini sangat lemah.
40446 – ثنا عبد الرحمن بن محمد بن حماد الطهراني ، ثنا الحسن بن يزيد الجصاص ، ثنا داود بن المحبر ، ثنا العباس بن رزين مصطفى السلمي ، عن جلاس بن عمرو ، عن ثابت البناني ، عن أنس بن مالك ، قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قضى صلاته مسح جبهته بكفه اليمنى ، ثم أمرها على وجهه حتى يأتي بها على لحيته ويقول : « بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب والشهادة الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الغم والحزن والهم ، اللهم بحمدك انصرفت وبذنبي اعترفت ، أعوذ بك من شر ما اقترفت ، وأعوذ بك من جهد بلاء الدنيا ومن عذاب الآخرة »
Diriwayatkan apabila Nabi ﷺ selesai solat, baginda akan menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya kemudian melalukannya di atas wajahnya sehingga sampai ke janggutnya. Kemudian baginda membaca: Dengan nama Allah, tiada tuhan yang berhak disembah selainnya. Yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nampak, yang Maha Pemurah lagi Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripada aku rasa dukacita, kesedihan dan susah hati. Ya Allah, dengan memujiMu aku pergi dan dengan dosa ku aku mengakui. Aku berlindung dengan Mu daripada keburukan yang telah aku lakukan, aku berlindung dengan Mu daripada kesusahan bala di dunia dan azab di akhirat. (Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan)
Pada sanadnya terdapat perawi bernama Daud al-Muhabbir. Beliau sangat lemah.
Al-Bukhari: Munkar al-Hadis.
Imam Ahmad: Anak Imam Ahmad pernah bertanya kepada beliau tentang Daud. Lalu Imam Ahmad ketawa dan berkata: Kelihatan hadisnya tiada apa-apa. Dia tidak tahu yang mana satukah hadis.
Ali bin al-Madini: Dzahaba Haditsuhu
Abu Hatim: Tidak thiqah, Dzahib al-Hadis, Munkar al-Hadis.
Abu Zur’ah: Dhaif al-Hadis.
Ad-Daraquthni: Matruk
Yahya bin Ma’in: Thiqah, bukan pendusta, akan tetapi banyak silapnya.
Kesimpulan: Hadis ini sangat lemah.
Jelas bahawa kesemua hadis berkaitan menyapu wajah selepas solat adalah sangat lemah. Oleh itu tidaklah disunatkan menyapu muka selepas solat.
وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
Leave a Reply