Inilah limpah kurnia Tuhanku

Kategori:

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

هٰذا مِن فَضلِ رَبّي

Qāla hāżā min faḍli rabbī.

“Ini termasuk kurnia Tuhanku,”

Surah an-Naml Ayat 40

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

قالَ الَّذي عِندَهُ عِلمٌ مِّنَ الكِتٰبِ

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab:

Allah ﷻ dan juga Nabi Muhammad ﷺ tidak jelaskan siapakah lelaki yang dimaksudkan di dalam ayat ini. ‘Kitab’ yang dimaksudkan itu juga tidak diberitahu kepada kita, maka kita tidak dapat menafsirkan perkara ini dengan tepat. Memang ada juga ahli tafsir yang menyebut namanya tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada maklumat itu benar.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa nama orang itu adalah Asif, pembantu Nabi Sulaiman عليه السلام. Hal yang sama diriwayatkan oleh Muhammad ibnu Ishaq, dari Yazid ibnu Ruman yang telah mengatakan bahawa nama orang tersebut adalah Asif ibnu Barkhia, dia adalah seorang yang jujur lagi mengetahui Ismul A’zam (Nama Allah ﷻ yang agung).

Qatadah mengatakan bahawa nama orang tersebut adalah Asif, seorang yang beriman dari kalangan manusia. Hal yang sama telah dikatakan oleh Abu Saleh, Ad-Dahhak, dan Qatadah, bahawa dia adalah seorang manusia. Qatadah menyebutkan keterangan yang lebih lengkap, bahawa orang itu berasal dari Bani Israil. Mujahid mengatakan bahawa nama orang itu adalah Astum.

Menurut Qatadah dalam riwayat lain yang bersumber darinya, menyebutkan bahawa nama orang itu adalah Balikha. Ada lagi pendapat lain, tapi itu semua tidak penting.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan yang berkata begitu adalah Nabi Sulaiman عليه السلام sendiri kerana bagindalah yang diberi dengan ilmu kitab. Dan baginda kata kepada Ifrit itu yang dia sendiri boleh membawakan singgahsana itu dalam sekelip mata, lebih cepat lagi dari Ifrit itu.

Kenapa disebut tentang ‘ilmu kitab’ di dalam ayat ini? Ini kerana di dalam kitab telah disebut tentang doa yang jikalau seorang hamba Allah ﷻ itu berdoa kepada Allah, maka Allah ﷻ boleh makbulkan dan jadikan apa-apa sahaja yang dikehendakiNya. Kerana betapa hebat pun kudrat manusia ataupun jin tetapi tidak dapat hendak dibandingkan dengan kudrat Allah ﷻ. Jadi baginda minta sahaja kepada Allah ﷻ untuk membawakan singgahsana Balqis itu ke Palestin.

Jadi ini bukanlah ilmu kesaktian tetapi sama ada ianya Karomah (kalau lelaki) ataupun mukjizat Nabi (jikalau Nabi Sulaiman yang dimaksudkan).

أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن يَرتَدَّ إِلَيكَ طَرفُكَ

“Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. 

Kalau Ifrit itu boleh bawakan singgahsana itu dalam beberapa jam, maka lelaki ini (mungkin Nabi Sulaiman atau tidak) boleh bawa dalam sekelip mata sahaja. Ini tentu lebih hebat.

فَلَمّا رَءآهُ مُستَقِرًّا عِندَهُ قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي

Maka tatkala dia melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku

Para ulama menyebutkan bahawa Asif meminta kepada Sulaiman عليه السلام agar memandang ke arah negeri Yaman tempat singgahsana itu berada, lalu Asif berwuduk dan berdoa kepada Allah ﷻ. Mujahid mengatakan bahawa Asif mengatakan dalam doanya, “Ya Zal Jalali Wal Ikram,” yang ertinya “Ya Tuhan yang memiliki keagungan dan kemuliaan”.

Az-Zuhri mengatakan bahawa Asif mengatakan dalam doanya, “Ya Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali hanya Engkau, datangkanlah ‘Arasynya kepadaku.” Maka seketika itu juga singgahsana (‘Arasy)nya berada di hadapannya. ,

Mujahid, Sa’id ibnu Jubair, Muhammad ibnu Ishaq, Zuhair ibnu Muhammad, dan lain-lainnya mengatakan bahawa setelah berdoa memohon kepada Allah ﷻ agar singgahsana Balqis didatangkan di hadapannya, saat itu singgahsana berada di negeri Yaman, sedangkan Nabi Sulaiman عليه السلام berada di Baitul Maqdis, maka singgahsana Balqis hilang dan masuk ke dalam tanah kemudian muncul di hadapan Sulaiman a.s.

Maka memang singgahsana itu dapat dibawa ke istana Nabi Sulaiman عليه السلام. Dan apabila singgahsana itu sudah di depan matanya, Nabi Sulaiman mensyukuri nikmat itu. Baginda sedar yang itu terjadi adalah dengan keizinan Allah ﷻ semata-mata.

لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ

untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari 

Apabila Nabi Sulaiman عليه السلام melihat singgahsana itu sudah ada di hadapannya Maka baginda mengatakan yang itu adalah ujian daripada Allah ﷻ untuk melihat sama ada baginda boleh bersyukur atau tidak.

Maksudnya baginda bersyukur kerana ada di kalangan penasihat dan pembantu baginda yang berkhidmat untuk baginda yang dapat melakukan perkara yang hebat seperti itu.

Atau baginda sendiri yang melakukannya, baginda bersyukur kerana diberikan ilmu itu dan kerana doa baginda dimakbulkan.

وَمَن شَكَرَ فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ

Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri

Sesiapa yang bersyukur maka perbuatan itu akan memberi kebaikan kepada dirinya sendiri. Kerana dia akan dapat pahala. Sudahlah dapat nikmat, dan apabila bersyukur lagi, dapat pahala. Dan pahala bersyukur itu lebih baik dari nikmat yang diberikan.

وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبّي غَنِيٌّ كَريمٌ

dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Dan sesiapa yang tidak bersyukur kepada Allah ﷻ, maka ketahuilah yang sesungguhnya Allah ﷻ itu tidak memerlukan sesiapa pun. Sama ada bersyukur atau tidak, Allah ﷻ tidak perlukan kesyukuran manusia.

Dan Allah ﷻ tidak memerlukan manusia untuk mengembangkan agamaNya kerana Allah ﷻ sendiri boleh mengembangkan agamaNya. Kalau kita ambil peluang untuk berdakwah, kitalah yang akan dapat kebaikan itu.

Lihat Celik Tafsir di sini.


Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir