بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
أَفَحَسِبتُم أَنَّما خَلَقنٰكُم عَبَثًا وَأَنَّكُم إِلَينا لا تُرجَعونَ
Afa ḥasibtum annamā khalaqnākum ‘abaṡaw wa annakum ilainā lā turja‘ūn(a).
“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Surah al-Mukminoon Ayat 115
Tafsir
Ayat zajrun. Tidakkah manusia memikirkan kenapakah mereka dihidupkan di dunia ini?
Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
أَفَحَسِبتُم أَنَّما خَلَقنٰكُم عَبَثًا
“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja),”
Adakah mereka sangka mereka dihidupkan tanpa ada sebab? عَبَثًا digunakan jika kita duduk buang masa sahaja. Buat sesuatu yang tidak ada nilai. Tak serius dalam melakukan sesuatu perkara.
Adakah Allah ﷻ lakukan perkara yang sia-sia? Tidak mungkin sama sekali. Allah ﷻ lebih tinggi dari itu. Jadi Allah ﷻ tegur fahaman manusia yang sangka mereka dijadikan sia-sia tanpa sebab dan tidak diperhitungkan.
Kerana ramai manusia yang ada fahaman sebegini lah yang menyebabkan ramai yang memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Tidak tahu apakah yang mereka lakukan. Sepanjang hari selain bermain-main sahaja. Mereka bangun, main dan tidur sahaja.
وَأَنَّكُم إِلَينا لا تُرجَعونَ
“dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Mereka macam tidak sangka yang mereka akan dikembalikan untuk bertemu dengan Penciptanya iaitu Allah ﷻ. Maka mereka tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka gunakan masa mereka semasa di dunia untuk membuat perkara keduniaan sebanyak mungkin. Iaitu sebelum mereka mati. Sampaikan ada yang buat tema: you only live once YOLO!!
Ini adalah perkara yang amat malang sekali. Malangnya ramai yang buat begitu. Maka kita janganlah begitu. Jangan buang masa seperti orang-orang yang lagha. Sebaliknya jadikan dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam pahala supaya ada banyak pahala yang dibawa ke akhirat.
فَتَعٰلَى اللهُ المَلِكُ الحَقُّ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ رَبُّ العَرشِ الكَريمِ
Fa ta‘ālallāhul-malikul-ḥaqq(u), lā ilāha illā huw(a), rabbul-‘arsyil-karīm(i).
“Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arsy yang mulia.”
Surah al-Mukminoon Ayat 116
Tafsir
Ini adalah khulasah (ringkasan) surah ini. Allah ﷻ menyebut perkara yang penting setelah banyak ayat-ayat disebut sebelum ini. Maka apakah pengajaran yang sepatutnya kita ambil dari surah ini secara ringkas?
فَتَعٰلَى اللهُ المَلِكُ الحَقُّ
“Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya;”
Allah ﷻ Maha Tinggi dari segala-galanya. Kehendak Allah ﷻlah yang paling penting sekali.
Allah ﷻlah sebenar-benar Raja. Memang ada banyak raja di dunia tetapi kekuasaan mereka itu diberikan oleh Raja segala raja, iaitu Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang paling berkuasa.
لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ
“tidak ada Tuhan selain Dia,”
Inilah Kalimah Tauhid pegangan kita. Tidak ada ilah selain Allah ﷻ. Ilah adalah tempat pergantungan harap. Maka kepada Allah ﷻ sahaja tempat yang kita berharap.
Dan kepada Allah ﷻ sahaja yang kita sembah dan seru dalam doa. Ketaatan kepada Allah yang paling utama.
رَبُّ العَرشِ الكَريمِ
“Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arsy yang mulia.”
Kehebatan Allah ﷻ itu tidak ada bandingan. Tidak dapat hendak dibandingkan. Allah ﷻ mempunyai dan memiliki Arasy iaitu makhlukNya yang paling besar. Arasy ini saja sudah tidak dapat dibayangkan. Mana kita hendak bayangkan Arasy sedangkan langit yang tujuh lapis itu pun kita tidak dapat hendak bayangkan.
Dan memang tidak perlu hendak bayangkan pun. Akal kita memang tidak mampu hendak fikirkan pun. Jadi buat apa hendak pecah kepala fikirkan? Tetapi ada juga yang hendak buang masa dan kemudian kutuk orang lain yang tidak sefahaman dengan mereka.
وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ لا بُرهٰنَ لَهُ بِهِ فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكٰفِرونَ
Wa may yad‘u ma‘allāhi ilāhan ākhara lā burhāna lahū bih(ī), fa innamā ḥisābuhū ‘inda rabbih(ī), innahū lā yufliḥul-kāfirūn(a).
“Dan barangsiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.”
Surah al-Mukminoon Ayat 117
Tafsir
Janganseru selain Allah ﷻ.
وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ
“Dan barangsiapa menyeru ilah yang lain di samping Allah,”
Ini adalah larangan seru selain Allah bersama Allah ﷻ. Ada manusia yang menyeru Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama mereka seru ilah lain. Ilah lain itu selalunya Nabi, wali dan malaikat.
Inilah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Mereka menyeru Allah ﷻ tetapi mereka juga seru ilah-ilah lain. Kerana mereka beriktikad Nabi, wali, malaikat dan jin juga adalah ilah juga. Ilah yang paling besar pada mereka adalah Allah ﷻ. Manakala ilah-ilah lain itu sebagai wasilah untuk memakbulkan doa-doa mereka.
Akan tetapi, jangan disangka ini adalah perbuatan Musyrikin Mekah sahaja. Ramai yang tidak tahu apakah akidah Musyrikin Mekah. Mereka sangka akidah Musyrikin Mekah itu amat jauh dari kefahaman manusia lain. Mereka tidak sangka bahawa fahaman mereka pun sama sahaja dengan fahaman Musyrikin Mekah itu.
Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan masyarakat Muslim kita sendiri sama sahaja akidahnya dengan Musyrikin Mekah. Sebab itulah ramai orang kita seru Nabi, wali dan malaikat dalam doa. Mereka tidaklah panggil Nabi, wali dan malaikat itu sebagai ilah, tetapi apa yang mereka lakukan terhadap Nabi, wali dan malaikat itu memang sebagai ilah. Mereka menjadikan roh-roh itu sebagai perantara dalam doa mereka. Mereka berharap kepada roh-roh itu.
Dan kerana tidak faham ayat inilah ramai yang membuat syirik. Iaitu mereka seru selain Allah ﷻ. Paling senang kita lihat ibu-ibu di negara ini. Apabila mereka mendodoi anak-anak mereka, ramai yang menyanyi begini:
la ilaaha illallah… Muhammadurr Rasulullah…..
Mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya sedang berzikir dan menyeru Allah ﷻ dan dalam masa yang sama menyeru Nabi Muhammad ﷺ juga! Ma sha Allah! Tetapi berapa ramaikah yang berbuat begini?
لا بُرهٰنَ لَهُ بِهِ
“padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu,”
Jadi ramai yang menyeru Nabi, wali dan malaikat dalam seruan doa mereka. Mereka seru Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Zakariya عليه السلام, Nabi Khidr عليه السلام dan bermacam-macam Nabi lagi; ramai yang menyeru para wali seperti Syaikh Abdul Qadir Jailani dan lain-lain; dan ramai yang memberi salam dan meminta tolong kepada para malaikat seperti Malaikat Jibrail عليه السلام dan lain-lain lagi.
Semua perbuatan dan amalan ini tidak ada dalil pun. Tidak ada diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ dan tidak diamalkan oleh para sahabat dan salafussoleh. Ini semua adalah ajaran dari syaitan. Tetapi kerana jauh dari wahyu, ramai yang tertipu dengan ajaran syaitan.
Tambahan pula ajaran ini diajar oleh mereka yang kononnya ahli agama, ulama, ustaz, tok guru tarekat dan lain-lain lagi. Maka berterusanlah manusia melakukan syirik tanpa mereka sedari.
فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ
“maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya.”
Mereka akan kena audit nanti. Segala amalan syirik dan bidaah itu akan ditulis oleh malaikat dan akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat. Allah ﷻ memberitahu yang Dia akan “menghitung” itu maksudnya Dia akan membalas. Kalau perbuatan itu memang salah, maka mereka akan kena azab di akhirat kelak.
Dan amalan syirik bukannya tinggal sekejap di neraka tetapi akan tinggal selama-lamanya di neraka! Tidakkah mereka takut melakukan perkara ini? Mereka memang tidak takut kerana mereka tidak percaya yang mereka ada buat salah. Malah kalau kita tegur, kita pula yang dituduh sesat!
Tetapi kita hanya boleh sampaikan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, terpulang kepada iman mereka. Kita telah jalankan tugas kita sekiranya kita telah menyampaikan. Jangan kita dituduh tidak menyampaikan.
إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكٰفِرونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.”
Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini yang orang kafir tidak akan berjaya. Tetapi kenapa tiba-tiba Allah ﷻ menyebut ‘orang kafir’ pula dalam ayat ini?
Ini adalah kerana mereka yang mengamalkan amalan salah menyeru selain Allah ﷻ itu, walaupun seru dengan Allah ﷻ juga, mereka itu kafir sebenarnya! Ma sha Allah! Alangkah teruknya… nama muslim, perwatakan nampak macam muslim juga, tetapi kufur rupanya!
Maknanya mereka muslim di mata manusia, tetapi kufur di mata Allah! Semoga kita dan ahli keluarga kita terselamat dari keadaan dan kejahilan ini. Aamiin.
وَقُل رَّبِّ اغفِر وَارحَم وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ
Wa qur rabbigfir warḥam wa anta khairur-rāḥimīn(a).
“Dan katakanlah: “Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik”.
Surah al-Mukminoon Ayat 118
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Akhir sekali sebagai penutup surah, Allah ﷻ mengajar satu doa.
وَقُل رَّبِّ اغفِر
“Dan katakanlah: “Ya Tuhanku berilah ampun”
Allah ﷻ menyuruh kita istighfar banyak-banyak. Kerana istighfar bukan dilakukan di akhirat tetapi semasa di dunia. Semasa di dunia inilah kita kena mengaku dosa kita dan meminta ampun. Jangan tunggu di akhirat baru sedar diri dan baru hendak meminta ampun. Waktu itu sudah terlambat.
وَارحَم وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ
“dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik.”
Dan berharaplah dengan rahmat Allah ﷻ. Rahmat itu maksudnya kasihan. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ: Kasihanilah kami dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ada 4 perkara penting yang kita minta dalam permintaan rahmat ini:
- Jangan susahkan dalam kehidupan dunia ini.
- Beri taufik kepada kita supaya dapat taat kepada hukum Allah ﷻ.
- Berilah keselamatan di akhirat
- Kurniakan kami dengan syurga. Ini penting kerana kita masuk Jannah adalah kerana rahmah Allah ﷻ, bukannya kerana amalan kita. Jangan minta selamat dari neraka sahaja kerana sekiranya kita tidak terkena azab neraka, itu adalah kerana Allah ﷻ bersifat al-Ghafir. Tetapi itu baru tidak masuk neraka, sedangkan kita hendak masuk syurga sekali.
Surah al-Mukminoon Ayat 115 – 118
Lihat Celik Tafsir di sini.